Kes demam denggi di Pahang menunjukkan trend peningkatan apabila sebanyak 685 kes direkodkan dalam tempoh 1 Januari sehingga 20 Oktober tahun ini.

Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Dr. Nor Azimi Yunus berkata, ia menunjukkan peningkatan sebanyak 87 peratus berbanding 367 kes dalam tempoh yang sama tahun lalu.

“Dari segi pecahan mengikut daerah, Kuantan mencatatkan jumlah tertinggi dengan 27 kes, diikuti dengan Bentong (empat kes) dan Temerloh (tiga kes).

“Bagaimanapun hanya satu kes kematian direkodkan akibat komplikasi denggi dalam tempoh tahun ini berbanding dua kematian dalam tempoh yang sama pada tahun 2021,” katanya.

Kenyataan ini diberikan sewaktu beliau menghadiri Program Gotong-royong Mega 2.0 Perangi Aedes Peringkat Kebangsaan 2022 di Taman Impianku, di sini hari ini.

Lebih 500 penduduk tempatan dan wakil jabatan serta agensi kerajaan menyertai program itu. Objektif program ini adalah untuk menghapuskan tempat pembiakan nyamuk aedes di lokaliti komuniti bagi pencegahan demam denggi.

Tambah beliau lagi, keadaan hujan diselang-seli dengan cuaca panas di negara ini amat kondusif untuk nyamuk aedes membiak.

Oleh itu, sebagai langkah pencegahan, komuniti perlu peka dengan persekitaran masing-masing. Hal ini untuk memastikan tiada tempat pembiakan nyamuk aedes di kawasan penempatan mereka.

“Aktiviti cari dan musnah tempat pembiakan nyamuk aedes selama 10 minit setiap minggu di dalam dan luar premis boleh dilaksanakan secara individu atau berkumpulan bagi mengurangkan kes wabak denggi.

“Program ini hanya sebagai platform pelbagai pihak termasuk kalangan masyarakat untuk menjalankan usaha membanteras penyakit demam denggi secara berterusan. Sebaliknya, individu yang perlu lebih peka dan bertanggungjawab memastikan persekitaran bebas nyamuk aedes,”ujarnya.

Sementara itu, beliau memberitahu pasukan sukarelawan MYCHAMPION COMBI berperanan sebagai ejen perubahan tingkah laku masyarakat apabila seramai 1,538 ahli berdaftar menyertai sukarelawan berkenaan di negeri ini.

Katanya, di Pahang sahaja terdapat 183 lokaliti yang mempunyai sukarelawan MyCHAMPION COMBI yang dapat membantu Kementerian Kesihatan (KKM) melaksanakan aktiviti pendidikan dan pencegahan denggi, terutamanya melibatkan komuniti setempat.

Sumber: Kosmo

Share.

Leave A Reply