Seramai 13 pelajar yang ditahan bagi membantu siasatan kes pergaduhan di sekolah menengah di sini, semalam, dibebaskan dengan jaminan polis, hari ini.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari, berkata, ia susulan rakaman percakapan ke atas semua suspek selesai dilakukan pihaknya.
“Rakaman percakapan sudah selesai, pagi ini mereka dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya ketika dihubungi.
Semalam, tular video berdurasi 25 saat memaparkan sekumpulan pelajar mengepung pelajar lain sebelum beramai-ramai menumbuk, menendang dan menolak mangsa sehingga terjatuh sebelum memijaknya beramai-ramai.
Malah mangsa yang terbaring di lantai kemudian turut dihentak dengan meja.
Berikutan itu, 13 pelajar ditahan selepas mangsa berusia 16 tahun tampil membuat laporan polis di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi.
Sumber : Harian Metro