Koronavirus – Sarawak Tegas Sekat Rakyat China Berkuatkuasa Serta Merta | Walau penularan koronavirus semakin terkawal, korban virus tersebut semakin meningkat di mana majoriti mangsanya adalah kanak-kanak dan orang tua. Jesteru, sebagai langkah berjaga-jaga Sarawak tegas sekat rakyat China dari masuk ke negeri itu secara serta merta.
ELAK PENULARAN KORONAVIRUS
Kerajaan Negeri Sarawak memutuskan untuk menyekat kemasukan rakyat China ke negeri itu berkuat kuasa serta-merta bagi mengekang penularan wabak koronavirus.
Perkara itu diumumkan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg hari ini.
Keputusan itu dibuat selepas perbincangan bersama Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak
“Penyakit koronavirus semasa kini tidak hanya di Hubei, sekarang telah merebak di tempat lain di negara China.
“Kita terpaksa buat membuat keputusan sama seperti di tempat lain untuk tidak benarkan mereka datang ke Sarawak ketika ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Parti Demokratik Progresif (PDP) di Dewan Suarah Bintulu.
Setakat hari ini, sebanyak lapan kes disyaki koronavirus dikesan di Sarawak, namun enam daripadanya disahkan negatif manakala dua lagi masih menunggu laporan ujian makmal.
Mengulas mengenai nasib pelajar Sarawak yang berada di China, Abang Johari berkata, kerajaan negeri sedang berusaha untuk bawa mereka pulang.
“Kita sekarang memantau rakyat Sarawak yang ada di China dengan kerjasama kedutaan kita di Beijing.
“Mereka akan ditempatkan di satu tempat kuarantin dan jabatan kesihatan telah kenal pasti bangunan yang akan kita gunakan sebagai tempat kuarantin,” katanya.
Bagaimanapun, kerajaan negeri tidak dapat mengenal pasti jumlah sebenar rakyat Sarawak yang berada di China ketika ini.
KEMATIAN AKIBAT KORONAVIRUS DI CHINA MENINGKAT KE 304 ORANG
Jumlah kematian akibat wabak koronavirus baru di Hubei meningkat sebanyak 45 kes, menjadikan jumlah keseluruhan 304 kes setakat Sabtu (1 Februari) malam, menurut laporan televisyen China.
Hubei, di mana virus tersebut bermula, mencatatkan 1,921 kes tambahan, menjadikan kesemuanya 9,074 jangkitan di wilayah itu.
Di seluruh negara itu, jumlah jangkitan setakat ini telah melebihi 14,300 kes, menurut laporan agensi berita CNA.
Kebanyakan kes kematian dan jangkitan virus yang dinamakan 2019-nCoV itu dilaporkan di Hubei, sebuah wilayah di tengah China yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi.
Pada Jumaat, seorang pegawai tinggi kerajaan di Wuhan, bandar yang mempunyai 11 juta penduduk di mana kes pertama dilaporkan pada Disember 2019, melahirkan kekesalan karena pihak berkuasa tempatan didakwa bertindak terlalu lambat.
Minggu lepas, kerajaan pusat China bertindak menutup Wuhan dan kawasan sekitarnya di wilayah Hubei, serta menyekat perjalanan di seluruh negara yang mempunyai 1.4 bilion penduduk itu.
Bagaimanapun, wabak itu telah tersebar luas ketika orang Cina merantau ke seluruh negara dan luar negara sempena cuti Tahun Baru Cina yang bermula 25 Jan lalu.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengisytiharkan wabak tersebut satu darurat kesihatan global, tetapi tidak mengesyorkan sebarang sekatan perdagangan atau perjalanan antarabangsa.
Setakat ini, virus tersebut telah dilaporkan di lebih 20 negara seluruh dunia.
Beberapa negara mengambil langkah segera memindahkan warganegara mereka dari Wuhan, melibatkan ratusan warga Amerika Syarikat, Jepun, British, Perancis dan Korea Selatan setakat ini.
Sumber: Sinar Harian