Selepas isu yang mengaitkan guru Matematik, Mohd Fadli Mohamed Salleh, mengenai silibus pendidikan, banyak pihak tampil memberi pelbagai reaksi. Beliau hampir ‘dibuang kerja’ oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akibat bersuara lantang tentang pendapatnya.
Ramai daripada yang memberi respons ialah pihak ibu bapa yang berasa terkesan dengan isu yang membabitkan anak-anak mereka.
Antara yang paling popular diperkatakan adalah tentang silibus pendidikan dikatakan susah ‘tahap dewa’.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin menjawab isu yang semakin dibangkitkan ini. Beliau berkata, silibus pendidikan yang digunakan sekarang dimulakan sejak 2017 dan tidak boleh ditukar setiap tahun.
Walau bagaimanapun, berita baik yang dapat dikonklusikan adalah tahun ini sudah selesai tempoh satu pusingan silibus untuk sekolah rendah, manakalah sekolah menengah tamat tahun lepas.
Sejak menerima kritikan yang berterusan selama lima tahun, sudah tentu kini masa terbaik untuk rombak silibus terbaru.
Apatah lagi, sistem pendidikan kita dilanda badai selama hampir dua tahun sejak awal 2020 apabila negara berdepan wabak Covid-19.
Semenjak sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) secara online diwujudkan, pelbagai masalah mula timbul kepada pelbagai pihak.
Walaupun ia usaha murni agar murid tidak ketinggalan, namun terdapat ibu bapa yang terpaksa memilih antara meneruskan survival atau membeli gajet untuk anak belajar. Tambahan pula, Malaysia berada dalam situasi ekonomi rakyat tenat ketika itu.
Murid juga menjadi lesu kerana tidak faham akan penjelasan guru semasa belajar secara PdPR. Selain itu, latihan dibuat tergesa-gesa kerana kurangnya masa dan ia perlu direkodkan segera.
Natijahnya, pada Disember 2021, dilaporkan seramai 21,316 murid telah berhenti sekolah sejak Mac 2020!
Oleh itu, satu pelan silibus ‘mesra murid’ sangat perlu digubal segera setelah mengambil kira pelbagai faktor.
Anak-anak tidak boleh dibiarkan terbeban sehingga tidak lagi berasa seronok ke sekolah kerana apa yang diajar tidak mampu dicapai akal.