Laluan Hijrah Nabi Muhammad SAW Dari Kota Mekah Ke Madinah Ditemui | Setelah lebih daripada 1,400 tahun Nabi Muhammad SAW berhijrah dari Kota Mekah ke Kota Madinah, para pengkaji sejarah dan juga aktivis alam sekitar Arab Saudi berjaya menelusuri semula perjalanan bersejarah itu.
Pasukan itu telah mengembara selama 8 hari dengan berjalan kaki serta menggunakan unta untuki menelusuri gunung dan juga padang pasir. Pengembaraan pasukan itu adalah untuk mengikuti jejak langkah perjalanan baginda ketika melepaskan diri dari puak Quraisy.
Pasukan itu terdiri daripada pakar sejarah, Abdulhafaiz Al-Graiqri; arkitek dan perancang bandar, Amro Darwish; pengkaji, Dr Samir Barqah dan aktivis alam sekitar, Hassan Abdulshakoor. Perjalanan itu bermula di Gua Thur yang terletak di Mekah iaitu sebuah gua dimana Nabi Muhammad SAW dan sahabat, Saidina Abu Bakar bersembunyi dari musuh.
Perjalanan itu adalah sejauh 500KM melibatkan ekspedisi lapangan serta bermalam dalam keadaan yang sukar dan berbahaya. Usaha mendokumentasi penghijrahan Nabi Muhammad adalah hasil penyelidikan selama beberapa tahun, didorong keinginan untuk menentukan dengan lebih tepat laluan digunakan ketika hijrah itu berlaku.
Bagi menjayakan penyelidikan itu, mereka telah melaksanakan puluhan aktiviti lapangan bagi mengumpul data, merekodkan maklumat koordinat Sistem Pengesanan Global (GPS) dan Sistem Maklumat Geografi (GIS) serta jarak perjalanan.
Sementara itu, Darwish berkata, kumpulan terbabit melakukan pelbagai pemeriksaan silang hasil maklumat daripada penyelidikan yang dilakukan selain memperoleh maklumat daripada puak yang tinggal di lembah berkenaan. Menerusi maklumat yang diperoleh itu, mereka berupaya menentukan kemungkinan laluan yang digunakan Nabi Muhammad SAW apabila diperintah oleh Allah untuk berhijrah ke Madinah.
Mereka tidak dapat untuk menggambarkan perasaan mereka apabila berjaya menamatkan pengembaraan itu. Mereka juga yakin kemungkinan laluan itu merupakan laluan yang digunakan Nabi Muhammad SAW ketika berhijrah dari Makkah ke Madinah. Mereka mengambil masa hampir dua tahun merancang dan melaksanakan kajian.
Sumber: Microsoft News