IPOH – Lapan kenderaan milik pendaki Gunung Korbu dan Gunung Gayung (Korga) dipecahkan ketika ditinggalkan di Empangan Sultan Azlan Shah, Ulu Kinta di sini pada Isnin.

Kejadian itu disedari sekitar jam 3.10 petang oleh seorang malim gunung selepas selesai menjalankan aktiviti pendakian berkenaan.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, mangsa bersama beberapa rakan meletakkan kenderaan di lokasi kejadian sejak Sabtu untuk menjadi pemandu arah mendaki gunung selama tiga hari.

“Selesai mendaki, lelaki berusia 49 tahun itu pergi ke arah kereta dan mendapati cermin hadapan sebelah pemandu pecah dan beg yang diletakkan di bawah kerusi telah hilang.

“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kerugian hampir RM2,500. Kejadian adalah kali pertama berlaku sepanjang mangsa menjadi pemandu arah gunung kawasan tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini pada Selasa.

Beliau berkata, seorang lagi mangsa iaitu lelaki berusia 53 tahun turut kehilangan beberapa barangan termasuk wang tunai RM1,000 dan telefon bimbit.

“Dalam kes ini, terdapat lebih kurang lapan kenderaan dipecahkan cermin dan disyaki dilakukan oleh suspek yang sama.

“Bagaimanapun, sehingga kini hanya dua mangsa tampil membuat laporan polis,” katanya.

Menurut Yahaya, pemeriksaan di tempat kejadian mendapati kenderaan terlibat diletakkan di dalam kawasan semak yang telah dibersihkan.

Katanya, selain jauh dari pondok pengawal, lokasi itu juga jauh dari penempatan penduduk dan tiada kawalan keselamatan di tempat kereta diletakkan.

“Siasatan lanjut dilakukan bagi mengesan suspek terlibat. Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya.

Kejadian itu tular di media sosial selepas satu video dimuat naik di Twitter menunjukkan keadaan kenderaan yang dipecah serta barang-barang dalam kenderaan yang dicuri.

Difahamkan semua kenderaan itu diletakkan oleh pendaki di kawasan lapang tanah rata berdekatan dengan perkampungan Orang Asli sebelum memulakan pendakian.

Sumber: Sinar Harian

 

Baca Juga: Lelaki Hanya Berseluar Dalam Tekad Tangkap Pencuri Pecah Masuk Rumah

Hanya berseluar dalam, seorang lelaki nekad melawan sekumpulan pencuri bersenjata selepas rumahnya dipecah masuk.

Kejadian yang berlaku di Gold Coast, Australia itu menyaksikan Stece Middleton,50, berdepan tiga pencuri.

Tidur dalam keadaan berbogel, pekerja binaan itu dikejutkan dengan bunyi bising dari garaj keretanya, pukul 4.30 pagi.

Sebaik sekumpulan pencuri melarikan diri, Steve mencapai seluar dalam sebelum mengejar dan berlawan dengan mereka yang bersenjatakan kayu besbol dan pisau.

Walaupun ditetak menggunakan pisau oleh salah seorang pencuri, dia dengan tenang meminta polis menyiasat kejadian itu supaya dia boleh pergi memancing.

“Saya bangun dan melihat kereta saya seperti sedang diperiksa. Saya fikir itu hanya teman lelaki anak saya.

“Kemudian saya melihat seorang lagi muncul dan memeriksa kereta yang lain. Ketika itu saya sedar kami dirompak.

“Ketika itu saya bertelanjang, jadi saya segera memakai seluar dalam dan berlari keluar,” katanya dipetik sebagai berkata dalam laporang Gold Coast Bulletin.

Rakaman kamera keselamatan menunjukkan Steve yang hanya memakai seluar, dilihat memegang bahagina baju salah seorang pencuri, manakala seorang pencuri cuba memukulnya menggunakan kayu besbol.

Dia juga yang tidak berkasut terus mengejar, namun penjenayah tersebut melarikan diri dnegan menaiki dua kereta secara berasingan.

“Seorang pencuri pukul saya dengan kayu besbol, jadi saya gunakan seorang sebagai ‘perisai’ saya.

“Saya tidak menjangka bangun dari tidur dan berdepan dengan situasi ini.

“Selepas pihak polis meneriman laporan itu, saya terus bertanya sama ada saya boleh pergi memancing atau tidak.

“Bagaimanapun, kami masih perlu menunggu forensik datang untuk melakukan pemeriksaan cap jari,” katanya.

Sumber: KMN

Share.

Leave A Reply