(Video) Laut Bertukar Menjadi Lautan Api Apabila Saluran Paip Bawah Laut Pecah Dan Terbakar |Sebahagian perairan di Teluk Mexico bertukar menjadi ‘lautan api’ apabila saluran paip minyak bawah laut terbakar dan meletup dalam satu kejadian semalam.
Menurut kenyataan syarikat pengeluar minyak Petroleus Mexicanos (Pemex), ia berpunca daripada kebocoran gas yang berlaku pada saluran paip bawah laut tersebut. Kebakaran berskala besar itu berlaku kira-kira 150 meter dari pelantar minyak Ku Maloob Zaap di Semenanjung Yucatan sebelum dikesan melalui satelit.
Pasukan keselamatan Mexico bergegas ke lokasi kejadian dengan kekuatan tiga buah bot pemadam api bagi mengelakkannya merebak lebih jauh. Mereka menggunakan bahan berunsur nitrogen untuk memadamkannya, selain injap saluran terpaksa ditutup sementara ketika kerja-kerja pemadaman api berjalan.
This is the Gulf of Mexico after a pipeline ruptured!
THE OCEAN IS A FLAME!
How much more clear could it be that these pipelines are DESTROYING OUR PLANET!
pic.twitter.com/t1waU7GJjg— StanceGrounded (@_SJPeace_) July 3, 2021
Api marak yang membentuk seakan bulatan ‘mata di tengah lautan’ itu berjaya dipadam setelah kira-kira lima jam pihak berkuasa bertungkus lumus untuk memadamkan kebakaran itu. Tiada sebarang kecederaan serta kematian dilaporkan setakat ini dan untuk rekod, ini bukan kejadian pertama yang dialami Pemex.
Sebelum ini, letupan serupa pernah berlaku di pelantar minyak Abkatun A-Permanente pada 2015 lalu hingga menyebabkan empat pekerja terkorban, 16 cedera dan lebih 300 lagi berjaya diselamatkan.
Sumber: France 24, Twitter, Daily Mail