Lelaki Berusia 93 Tahun Menjadi Youtuber Permainan Video Terkenal | Usia tidak menjadi penghalang kepada seseorang untuk menerokai sesuatu perkara baru yang diminati. Hal i ni telah berjaya dibuktikan oleh seorang lelaki yang berusia 93 tahun dari JepunĀ apabila beliau kini merupakan seorang youtuber permainan video terkenal.
Lelaki itu merupakan seorang pesara pemandu teksi, kini dia banyak menghabiskan masanya dengan bermain permainan video lumba kereta. Dia juga mempunyai saluran YouTube yang memaparkan aksinya memandu kereta di dalam permainan video berkenaan.
Lelaki itu mulai menjadi tular apabila cucunya memuat naik video rakaman dia bermain permainan video lumba kereta. Lengkap dengan kelengkapan memandu seperti stering dan alat kawalan gear menjadikan aksinya bermain video lebih menarik.
Berdasarkan video yang dimuatnaik, rata-rata orang mengatakan bahawa lelaki itu merupakan seorang pemandu kereta yang cekap pada zamannya. Lelaki itu merupakan seorang pemandu teksi di sekitar Tokyo sejak 1960 namun sebelum itu menjadi pemandu lori sampah selama 20 tahun.
Cucu lelakinya mendapat idea untuk menyediakan permainan video perlumbaan kereta yang menjadi hobi datuknya satu masa dulu sebaik sahaja lelaki itu bersara. Kisahnya menjadi tular selain inspirasi kepada ramai penggemar permainan video untuk menjadi sepertinya apabila tua kelak.
Ramai peminat permainan video yang merasa kagum dengan kebolehan lelaki tua itu memandu sehingga membolehkan dia untuk menang pelbagai jenis perlumbaan dalam usia yang lanjut itu. Dia kini mampu menggunakan pelbagai kereta berkuasa tinggi Eropah seperti Ferrari dan Lamboghini di dalam permainan video berkenaan kerana menang beberapa ‘perlumbaan.’
Sumber: Harian Metro