Operasi Haji Malaysia Ditangguh Oleh Tabung Haji | Kerajaan Arab Saudi telah memuktamadkan bahawa tiada jemaah negara luar termasuk Malaysia yang akan dibenarkan ke Tanah Suci  dan keputusan itu telah dimuktamadkan. Selaras dengan keputusan yang dibuat itu, Tabung Haji (TH) hari ini mengambil keputusan untuk menangguhkan segala operasinya berkaitan.

Operasi Haji Malaysia Ditangguh Oleh Tabung Haji

Menurut Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Amrin Awaluddin, keputusan itu diambil atas faktor keselamatan dan kesihatan semua. TH menerima keputusan yang telah dibuat oleh pihak Arab Saudi dan kerajaan Malaysia dengan hati yang terbuka walaupun sudah bertungkus lumus dan membuat perancangan operasi haji sehingga ke saat akhir.

Keputusan penangguhan pemergian jemaah haji Malaysia tahun ini jelas menunjukkan keprihatinan Kerajaan Arab Saudi yang mengambil berat aspek keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan umat Islam seluruh dunia ekoran penularan wabak Covid-19.

Walau bagaimanapun, TH amat berterima kasih kepada Kerajaan Arab Saudi yang sentiasa memberi kerjasama baik kepada Malaysia dan amat prihatin dalam urusan ibadat haji jemaah negara ini sejak dahulu. Keputusan itu diambil selaras dengan penangguhan ini dibuat setelah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, semalam.

TH turut menyokong usaha yang diambil oleh kerajaan Malaysia bagi membendung penularan wabak covid-19 sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dilaksanakan. Bakal haji yang diperuntukkan giliran haji mereka pada tahun 2020 dan telah diberi keutamaan sebelum ini untuk menunaikan haji pada tahun 2021, mereka sekarang akan diberi keutamaan untuk menunaikan fardu haji pada tahun 2022.

Bakal haji yang gilirannya pada tahun 2021 turut akan diberikan keutamaan bagi melaksanakan haji pada tahun 2022 bergantung pada kekosongan tahun semasa. Badan penyelaras haji rakyat Malaysia itu juga turut menasihati umat Islam di Malaysia untuk tidak terpengaruh dengan mana-mana pihak yang menawarkan pakej haji dan badal haji bagi tahun ini.

Semua bakal haji dimohon agar bersabar dan reda menerima keputusan yang dikeluarkan ini. Diminta setiap bakal haji terus berdoa agar keadaan kembali pulih bagi membolehkan urusan haji diteruskan pada musim-musim hadapan.

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) semalam berkata tidak akan menghantar jemaah haji bagi musim 1442 Hijrah. Ia berikutan keputusan Arab Saudi hanya membenarkan warganegaranya dan penduduk negara lain yang telah berada di dalam negara itu sahaja menunaikan ibadat itu.

Sumber: Malaysia Gazette

Share.

Leave A Reply