Lelaki Cuba Selamatkan Kawan Dari Tergelincir Bertukar Tragedi Apabila Ditemui Lemas | Kulim: Niat murni seorang lelaki untuk menyelamatkan rakannya yang tergelincir ketika sedang mandi di pusat peranginan Sungai Sedim, Sungai Kob berakhir tragedi apabila dia ditemukan lemas, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Redzuan Salleh berkata, mangsa dikatakan sedang mandi bersama tiga rakannya di air terjun berkenaan.

Beliau berkata, kaunter aduan Balai Polis Sungai Kob menerima panggilan pada 2.20 petang memaklumkan terdapat seorang lelaki ditemui lemas.

Katanya, hasil temubual rakan mangsa memaklumkan, mangsa bersama tiga rakannya pergi ke Pusat Rekreasi Lata Sungai Sedim Sungai Kob itu pada 2 tengah hari untuk mandi.

“Sebaik tiba didapati ramai orang mandi di kawasan itu menyebabkan mereka pergi mandi di kawasan sungai Lubuk Buluh Lata Sedim yang mempunyai arus sangat deras.

“Ketika mandi, salah seorang rakan tergelincir dan mangsa cuba menyelamatkan rakannya tetapi mangsa dibawa arus deras,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Redzuan berkata, orang ramai di situ turut membantu dalam mencari dan menyelamatkan mangsa.

Beliau berkata, mangsa berjaya ditemui tenggelam ke dasar sungai, namun selepas dinaikkan didapati sudah meninggal dunia.

“Pemeriksaan mayat di tempat kejadian dapati tiada sebarang kecederaan dan tiada sebarang unsur-unsur jenayah dapat dikaitkan dengan kematian mangsa,” katanya.

Dalam kejadian berasingan, seorang lelaki berusia 24 tahun ditemukan lemas ketika sedang mandi di Pusat Rekreasi Air Puteh, Junjong, di sini hari ini.

Mohd Redzuan berkata, bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim menerima panggilan MERS 999 pada 2.43 petang memaklumkan rakannya mati lemas.

Beliau berkata, hasil temubual saksi memaklumkan mangsa tiba di pusat peranginan pada 2.10 petang.

“Pemeriksaan mayat di tempat kejadian dapati tiada sebarang kecederaan dan unsur jenayah.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kulim untuk bedah siasat,” katanya.

Sumber: Harian Metro

 

ARTIKEL LAIN YANG BOLEH DIBACA

Solat Jumaat Terakhir Sebelum Anak Ditemui Maut Lemas | Tumpat: Dua mangsa jatuh bot di Sungai Kelantan di Kampung Pasir Pekan Hulu, di disini, petang kelmarin ditemukan lemas, selepas hilang hampir tiga hari.

Kedua-dua mangsa, Amrullah Fitri Afendi, 10, ditemukan 8.15 pagi tadi dalam jarak 900 meter (m) dari pusat kawalan tempat kejadian (PKTK), manakala bapa saudaranya, Wan Muhamad Najmi Wan Taib, 30, pula ditemukan bawah jambatan Sultan Yahya Petra, tidak jauh dari mangsa pertama dijumpai.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Amran Dolah berkata, jasad kedua-dua mangsa ditemukan terapung.

“Mayat kanak-kanak lelaki ditemukan di tebing sungai, manakala bapa saudaranya pula di tengah sungai iaitu bawah jambatan dengan jarak kira-kira 1.1 kilometer dari PKTK.

“Kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Tumpat untuk bedah siasat dan misi mencari dan menyelamat ditamatkan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Syukur dan reda

Sementara itu, bapa Amrullah, Afendi Ismail, 43, bersyukur atas penemuan anak lelaki dan adik iparnya itu selepas tiga hari hilang di sungai.

Afendi, 43, berkata, sejak kehilangan kedua-dua ahli keluarganya itu, solat hajat tidak henti diadakan sama ada membabitkan keluarga, penduduk kampung atau sekolah anaknya itu.

Laungan azan juga sentiasa dibuat di tebing sungai dengan harapan Abang Ngah (Amrullah) dan Najmi ditemukan walau dalam apa jua keadaan.

“Kami reda menerima takdir ini, walau ditemukan dalam keadaan tidak bernyawa, sekurang-kurangnya mereka berdua ada pusara,” katanya.

Dalam kejadian 6.45 petang kelmarin, enjin bot dinaiki suami isteri, Nor Awadah Sulong, 30, dan Wan Muhamad Najmi Wan Taib, 30, anak perempuan mereka, Wan Nur Ameena Wan Muhamad Najmi, 14 bulan serta anak saudara, Amrullah Fitri Afendi, 10, tiba-tiba mati, menyebabkan tiga daripada mereka terpelanting dan terjatuh ke dalam sungai.

Nor Awadah ditemukan lemas, anak perempuannya selamat.

Sumber: Kosmo

Share.

Leave A Reply