Lelaki Disiasat Selepas ‘Kantoi’ Ponteng Kerja Selama 15 Tahun | Seorang lelaki dipercayai pekerja kepada sebuah hospital di Itali telah disiasat atas kesalahan tidak hadir ke tempat kerja namun apa yang lebih mengejutkan lelaki tersebut masih menerima gaji walaupun sudah 15 tahun dia didapati ‘ponteng’ dari tempat kerja tersebut.
Lelaki terbabit didakwa tidak hadir ke Hospital Ciaccio selama hampir 15 tahun iaitu sejak tahun 2005 serta dia juga bakal disiasat atas kesalahan terlibat dalam penipuan, melakukan pemerasan serta salah guna kuasa dalam hospital tersebut menurut laporan media tempatan.
Selama 15 tahun, lelaki tersebut telah menerima bayaran berjumlah €538,000 iaitu bersamaan RM2.67 juta sebagai gaji walaupun tidak berkhidmat di hospital terbabit. Siasatan oleh pasukan penyiasat telah dijalankan dan mendapati lelaki berkenaan merupakan salah seorang pekerja di sektor awam hospital tersebut pada tahun 2005 sebelum dia dilaporkan tidak hadir ke tempat kerja.
Dia juga didakwa telah melakukan peras ugut kepada pengurus lamanya supaya tidak memberitahu pihak atasan tentang ketidakhadirannya ke tempat kerja. Sejurus pengurus tersebut dikatakan pencen, ketidakhadiran lelaki tersebut ke tempat kerja tidak disedari pengurus seterusnya atau pengurus sumber manusia hospital berkenaan.
Setelah kes tersebut terbongkar, polis kini telah mendakwa enam lagi individu yang dipercayai merupakan pengurus di hospital berkenaan yang dikatakan turut mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.
Penahan berikut dilakukan selepas hasil siasatan polis mendapati mereka turut terlibat dalam amalan ponteng kerja dan dakwaan penipuan dalam kalangan pekerja sektor awam di Itali.
Sumber: Astro Awani