Lelaki Ini Dihadapkan Ke Mahkamah, Miliki Senjata Dan Buku Ideologi Komunis. | PETALING JAYA: Seorang lelaki dihadapkan di dua mahkamah berasingan di Ipoh, hari ini atas lima pertuduhan memiliki senjata tiruan, peluru, besi buku lima dan buku berunsurkan ideologi komunis, dua minggu lalu.
Menurut laporan Utusan Online, tertuduh, Leong Yew Chen, 35, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Norashima Khalid dan Majistret Noor Azreen Liana Mohd Darus.
Di Mahkamah Sesyen, Leong berdepan dua pertuduhan memiliki dua butir peluru hidup tanpa lesen yang sah dan dua besi buku lima yang disenaraikan sebagai senjata berjadual di Jalan Margosa, Pasir Puteh di sini pada 1.45 petang, 10 Disember 2021.
Bagi tuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan tidak kurang enam kali sebatan jika sabit kesalahan.
Bagi kesalahan memiliki besi buku lima, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 7(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima dan 10 tahun serta sebat.
Sementara itu di Mahkamah Majistret, Leong yang bekerja sebagai pembantu di kedai bapanya juga didakwa memiliki sepasang gari dan tiga helai baju kalis peluru tanpa kebenaran yang sah pada masa, tarikh dan lokasi sama.
Pertuduhan bagi kes itu dilakukan mengikut Seksyen 89 Akta Polis 1967 yang membawa hukuman denda maksimum RM500 atau penjara yang boleh sampai enam bulan atau kedua-duanya.
Dia turut didakwa memiliki lapan laras senapang tiruan dan empat pucuk pistol tiruan serta 14 buah buku cetakan hasil penerbitan larangan berunsurkan ideologi komunis pada masa, tarikh dan lokasi sama.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960 yang boleh dihukum penjara maksimum satu tahun atau didenda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya dan Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 8(1) akta sama yang boleh dikenakan denda sehingga RM5,000.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sufi Aiman Azmi, Nor Syahirah Azahar dan Fatimah Hannah Abd Wahab manakala tertuduh diwakili peguam Amrick Singh Sandu.
Tertuduh tidak dibenarkan ikat jamin namun mahkamah membenarkan permohonan peguam untuk lelaki itu menjalani penilaian kesihatan mental di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan.
Mahkamah kemudian menetapkan 21 Jan depan sebagai tarikh sebutan kes.
Sumber: FMT