Lelaki Lemas Jatuh Sungai Ketika Melakukan Aktiviti Berkayak | Seringkali kita lihat kejadian lemas berlaku terhadap seseorang dan kejadian mengejut seperti ini sering kita lihat tular di media sosial dan menjadi topik utama di dada akhbar.
Kampar: Seorang lelaki lemas selepas terjatuh ke dalam sungai ketika melakukan aktiviti berkayak di Sungai Ulu Geruntum, Gopeng di sini, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim, berkata mayat mangsa berusia 20 tahun ditemui berhampiran Resort River Bug oleh pasukan bomba yang menjalankan operasi pencarian pada kira-kira jam 5.40 petang. Beliau berkata, polis telah menerima maklumat daripada orang awam memaklumkan seorang lelaki terjatuh dan disyaki lemas sebelum anggota ke lokasi menjalankan siasatan.
Sementara itu, siasatan telah dijalankan dan mendapati kejadian berlaku ketika arus air deras apabila mangsa dan rakannya mula menaiki kayak secara individu di Resort Hijauan pada jam kira-kira 2.40 petang.
“Ketika melalui selekoh sungai berhampiran Resort Kuala Razila, kayak dinaiki mangsa tidak dapat dikawal lalu terbalik dibawa arus. Mangsa dihanyutkan air sehingga ke River Bug Resort di Sungai Jahang kira-kira satu kilometer dari tempat kejadian,” katanya.
Hasron Nazri berkata, hasil temubual dengan kakaknya, mangsa bekerja sebagai pengawal sungai di Sungai Ulu Geruntum hampir dua tahun dan tidak terikat dengan agensi pelancongan.
“Ketika kejadian, dimaklumkan mangsa bersama rakannya sedang membuat aktiviti kayak secara persendirian untuk memantau kederasan air sungai di sekitar kawasan Sungai Ulu Geruntum.
“Secara tiba-tiba kayak dinaiki mangsa terbalik dan dihanyutkan arus, ketika itu rakannya cuba membantu menarik mangsa tetapi tidak berjaya kerana arus sangat deras,” katanya.
Katanya, kes diklasifikasikan kematian mengejut dan mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kampar untuk tindakan lanjut.
Sumber: Berita Harian