Seorang lelaki di Mojokerto ditemui meninggal dunia akibat minum racun tikus di atas kubur isterinya.
Menurut Kompas.com, mangsa dikenali sebagai Andri Budi Santoso, 46, ditemukan dalam keadaan tidak bernyawa oleh pihak polis.
Ketua Polis Gedeg, Made Artajaya berkata, lelaki yang mempunyai tiga anak itu asalnya dilihat oleh saksi, Utomo, yang datang menziarahi kubur isterinya.
Katanya, Andri dihantar oleh anaknya menggunakan motor Yamaha Mio.
Sekitar pukul 5.15 petang, saksi melihat mangsa duduk bersila dengan posisi membongkok di pusara isterinya.
Saksi kemudian berasa curiga kerana lelaki itu tidak bergerak dan disahkan sudah meninggal dunia.
Difahamkan, isterinya meninggal dunia akibat Covid-19, tahun lalu.
Made berkata, Utomo kemudian meminta bantuan penduduk lain dan melaporkan insiden itu ke pejabat polis.
Jelasnya, pihak polis menemukan dua bungkus racun tikus dan ubat serangga di samping jasad mangsa.
Hasil bedah siasat mendapati punca kematian akibat racun tikus yang dicampur dengan cecair ubat serangga.
Keterangan ahli keluarga memaklumkan lelaki itu hendak bernikah 3 Julai depan, tetapi mengalami masalah kewangan.
Sumber: Utusan Malaysia