PUCHONG – Seorang lelaki tempatan ditahan polis kerana melakukan khianat dengan memecahkan cermin kereta milik jirannya di kawasan perumahan Taman Puchong Perdana, di sini, petang Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima aduan berhubung kejadian daripada seorang wanita tempatan yang berusia 24 tahun.

Dalam kejadian sekitar pukul 5 petang itu, pengadu yang berada di dalam rumahnya mendapati jirannya (suspek) telah melakukan khianat sehingga memecahkan cermin kereta jenis Perodua Axia miliknya.

“Suspek berusia 36 tahun terbabit ditahan pihak polis berserta sebatang kayu yang digunakan sewaktu kejadian turut dirampas.

“Hasil siasatan mendapati punca kejadian ini berlaku disebabkan suspek mengalami tekanan jiwa selepas hilang pekerjaan dan melepaskan geram kerana rumah pengadu selalu membuat bising,” jelasnya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, suspek yang menganggur berkenaan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.

“Suspek telah dituduh di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan pada Jumaat lalu dan didenda sebanyak RM3,300 setelah mengaku bersalah terhadap pertuduhan.

“Bagaimanapun, suspek gagal membayar denda dan kini sedang ditahan di Penjara Kajang bagi menjalankan hukuman penjara selama enam bulan,” ujarnya.

Sumber: Kosmo

Baca Juga: Stres Bini Asyik Minta Duit, Lelaki Buat Laporan Palsu Disamun

PONTIAN – Gara-gara menghadapi masalah kewangan, seorang lelaki ditahan kerana membuat laporan palsu mendakwa disamun oleh dua lelaki di Jalan Parit Kassim, di sini, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohammad Shofee Tayib berkata, pengadu yang berusia 30 tahun itu kemudian telah membuat laporan polis yang mendakwa telah diacukan senjata berupa pisau ke arah dirinya.

Katanya, selain itu pengadu mendakwa kedua-dua lelaki tersebut telah mengambil wang tunai sebanyak RM300 dan sebuah jam tangan jenama ‘G- Shock ‘.

“Hasil siasatan yang dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Pontian, lelaki tersebut ditahan kerana didapati telah membuat satu laporan palsu.

“Pengadu telah mengalami masalah kewangan dan gagal mengikuti kehendak isterinya yang meminta duit serta gagal menunjukkan lokasi sebenar kejadian tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Semalam tular di media sosial laporan polis yang dibuat oleh pengadu seorang penghantar makanan mendakwa telah ditahan oleh dua lelaki berbangsa India dengan menaiki motosikal Yamaha Lagenda berwarna kuning tanpa nombor pendaftaran.

Laporan polis tersebut mendakwa kejadian berlaku pada pukul 9.30 pagi ketika pengadu melalui Jalan Parit Kassim menuju ke destinasi yang tidak dinyatakan dari rumah kediamannya di Taman Sri Pinang, Jalan Parit Mesjid.

Pengadu menyebut salah seorang lelaki telah menarik jaket pengandu sehingga terkoyak dan memaksa pengadu mengeluarkan dompet dan seorang lagi telah mengeluarkan senjata berupa pisau.

Tambah Mohammad Shofee, pengadu akan disiasat dibawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan palsu dan jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman 6 bulan penjara atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Sumber: Kosmo

Share.

Leave A Reply