Seorang lelaki Amerika Syarikat (AS) bertindak licik apabila menggunakan perkhidmatan Uber untuk merompak sebuah bank, baru-baru ini.
Mirror UK melaporkan, suspek, Jason Christmas, 42, dari Southfield, Michigan, kemudian memaksa pemandu Uber terbabit menunggu di luar bank sehingga ‘tugasannya’ selesai untuk membawanya pulang ke rumah.
Christmas bagaimanapun ditangkap kerana disyaki merompak Bank Huntington sebelum jam 5 petang pada 16 November.
Polis berkata, suspek menaiki kenderaan perkhidmatan Uber ke bank dan meminta pemandu itu menunggu ketika dia masuk ke dalam dan merompak bank itu.
Menurut pihak berkuasa, pemandu Uber itu langsung tidak menyedari agenda perompak itu ketika dia menunggu di luar.
Jelas Ketua Polis Southfield Elvin Barren, ini adalah cara yang sangat luar biasa untuk melakukan rompakan bersenjata di bandar kami.
Selepas melakukan rompakan, pemandu Uber memandu suspek kembali ke blok flat didiaminya dekat Lahser sebelum polis tiba di luar pangsapuri untuk menahan Christmas.
Polis Southfield mengeluarkan rakaman kamera badan menunjukkan Christmas digari dan ditangkap.
Dia disoal siasat oleh polis sama ada sudah terkena tembakan kerana ada ‘bahan merah’ yang terdapat di seluruh badannya.
Bagaimanapun, Christmas mendedahkan bahawa ‘barangan merah’ itu adalah daripada pewarna yang tertinggal di dalam dompet yang diserahkan oleh bank kepadanya.
Seorang pegawai polis bertanya kepadanya: “Adakah anda ditembak…. mengapa anda mempunyai bahan merah ini di seluruh (badan) anda?”
Barron berkata, suspek memakai pakaian yang sama seperti rompakan yang disaluti dengan pewarna merah.
Polis menjumpai wang rompakan itu yang mempunyai dakwat merah.
Pihak berkuasa dapat menjejaki pemandu Uber itu dan dia ditahan semula selepas polis menemui nombor platnya pada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di bank terbabit.
Bagaimanapun, pemandu itu menafikan pembabitannya dengan jenayah berkenaan.
Christmas kini berdepan dakwaan melakukan rompakan bank.
Sumber: The Mirror