Mahkamah Kekal Keputusan Lokman Adam Dipenjara Sebulan |  Pada hari ini, Mahkamah Rayuan, memutuskan bahawa Datuk Lokman Noor Adam, bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, kekal dipenjara sebulan mengikut keputusan Mahkamah Tinggi, tahun lalu.

 

Selepas didapati bersalah menghina mahkamah kerana mengugut saksi perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB), membabitkan Datuk Seri Najib Razak, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman itu terhadap Lokman.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai oleh Datuk Seri Kamaludin Md Said bersama Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Nordin Hassan, secara sebulat suara membuat keputusan itu selepas Mahkamah Tinggi didapati tidak membuat kesilapan apabila menjatuhkan hukuman berkenaan.

Pada akhir bulan lalu, Datuk Dusuki Mokhtar, Timbalan Pendakwa Raya, berkata tempoh penjara sebulan terhadap Lokman, tidak memadai bagi melindungi integriti sistem kehakiman dan memberi pengajaran kepada orang awam.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan hukuman penjara minimum tiga bulan sebagai indikasi tiada toleransi diberikan kepada mana-mana pihak yang cuba menghina mahkamah.

Bagaimanapun, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, peguam bela Lokman, memohon anak guamnya tidak dipenjara, sebaliknya memadai sekadar didenda maksimum RM2,000.

Katanya, laporan polis dibuat Lokman terhadap saksi itu, yang juga bekas pegawai khas Najib, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin juga tidak boleh diklasifikasikan sebagai tindakan menghina mahkamah dan mewujudkan ancaman.

Pada tahun lepas, 15 Julai , Hakim Collin Lawrence Sequerah, menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati tindakan Lokman membuat laporan polis terhadap Amhari Efendi, menjurus kepada intimidasi dan ancaman serta menghina mahkamah.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan Muhammad Shafee, supaya hukuman penjara itu akan ditangguhkan sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.

Mahkamah Tinggi kemudian memerintahkan Lokman dikenakan bon jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin.

Pada 14 Januari 2020, Sequerah menolak permohonan Lokman untuk mengetepikan kebenaran yang diperoleh Tan Sri Tommy Thomas, Peguam Negara ketika itu.

Bekas Ahli MKT UMNO itu juga gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan serta Mahkamah Persekutuan untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi.

Tommy memulakan prosiding komital terhadap Lokman selaku responden dan memohon perintah supaya bekas Ahli MKT UMNO itu, dipenjara atau didenda atas tindakannya menghina mahkamah.

Pada 22 Oktober 2019, Sequerah memberi kebenaran kepada Tommy untuk memulakan prosiding komital terhadap Lokman, kerana tindakan responden yang didakwa menghina mahkamah sebanyak dua kali pada 25 September 2019.

Lokman dalam satu temu bual didakwa mengeluarkan perkataan berbaur ancaman atau ugutan terhadap Amhari Efendi, kerana memberi keterangan pada perbicaraan bekas Perdana Menteri itu di Mahkamah Tinggi.

Lokman turut membuat laporan polis terhadap Amhari Efendi, yang juga saksi pendakwaan kelapan berhubung keterangan pada perbicaraan berkenaan.

Sumber: Berita Harian

Share.

Leave A Reply