Majlis Berbuka Puasa Tidak Patuh SOP, Kertas Siasatan Dibuka | Satu majlis berbuka puasa telah diadakan di sebuah hotel pada 29 April yang lalu. Majlis Berbuka Puasa Dan Rapatkan Saf 2021 itu didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Pihak berkuasa akan merujuk kertas siasatan bagi kes itu ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) minggu depan.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, kertas siasatan sedang dilengkapkan dan dirujuk ke Pejabat TPR untuk arahan selanjutnya. Setakat ini 17 orang sudah dipanggil memberi keterangan termasuk penganjur bagi membantu siasatan.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 21 Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Peraturan 19 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) Kawalan Pergerakan Bersyarat (No 4) 2021.
Harian Metro sebelum ini melaporkan polis membuka kertas siasatan berkaitan penganjuran Majlis Berbuka Puasa dan Rapatkan Saf 2021 di sebuah hotel yang turut dihadiri beberapa artis. Siasatan dijalankan selepas didapati berlaku pelanggaran SOP PKPB.
Sumber: Harian Metro