Mayat seorang lelaki ditemukan terapung di sebuah bekas lombong berhampiran tapak projek perumahan di Cybersouth, di sini, kelmarin.
Mayat lelaki dipercayai warga asing itu ditemui seorang individu yang ingin memancing di kawasan tebing bekas lombong kira-kira 2.30 petang.
Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, individu berkenaan melihat satu objek menyerupai manusia dalam keadaan terapung pada jarak kira-kira 300 meter.
Menurutnya, saksi menghampiri objek berkenaan dan mendapati mayat seorang lelaki lengkap berpakaian.
“Saksi kemudiannya menghubungi balai polis Dengkil dan sepasukan forensik bersama tiga anggota hadir ke lokasi kejadian.
“Pasukan bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat Dengkil dipanggil bagi membantu mengangkat mayat ke tebing tasik,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Wan Kamarul berkata, hasil pemeriksaan mendapati mayat lelaki yang tidak pasti bangsa tanpa dokumen itu lengkap berpakaian T- shirt berwarna hitam dan berseluar jeans berwarna hitam paras lutut serta bertali pinggang.
Menurutnya, mayat dianggarkan berketinggian kira-kira 180 sentimeter dan bertubuh gempal dipercayai warga asing berdasarkan tiada tanda suntikan BCG pada lengan mangsa.
“Hasil pemeriksaan forensik mendapati tiada sebarang unsur jenayah dan mayat disyaki meninggal dunia kira-kira tiga hari lalu berdasarkan keadaan tubuh badan mangsa yang sudah lebam dan mengelembung serta kulit menggelupas.
“Pemeriksaan di sekitar kawasan lombong seluas kira-kira 10 ekar tidak menjumpai sebarang kenderaan digunakan mangsa dan Unit Anjing Pengesan (K9) yang membantu siasatan tidak menjumpai sebarang petunjuk,” katanya.
Menurutnya, kawasan lombong yang tidak berpagar dan boleh dimasuki secara bebas adalah tumpuan orang ramai untuk memancing.
Mayat dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.
Sumber : HM
ARTIKEL LAIN YANG BOLEH DIBACA
Timbul Selepas Bapa Saudara Azan, Mayat Remaja Lemas Ditemui.
Mayat remaja yang hilang ketika mandi bersama rakannya di Pantai Batu Layar semalam berjaya dijumpai kira-kira 100 meter dari lokasi mangsa dilaporkan lemas.
Mayat Hani Suefyan Hanizam, 16, dijumpai pukul 5.20 petang tadi selepas kira-kira satu jam lebih azan dilaungkan bapa saudaranya Abdul Rahim Hashim, 26, di pantai berkenaan yang turut menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, mayat mangsa ditemui pasukan penyelamat yang menyambung semula operasi SAR pada pukul 3 petang kelmarin.
“Hasil operasi SAR pada hari kedua, kita berjaya menemukan mangsa yang hilang dan disahkan telah meninggal dunia disyaki akibat lemas. Mayat mangsa ditemukan dalam keadaan terapung dan sedang dibawa oleh arus ke pantai.
“Mayat mangsa juga sudah dicamkan oleh ibu bapanya. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kota Tinggi (HKT) di sini, untuk tujuan bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian,” katanya ketika ditemui pada operasi SAR di lokasi kejadian di sini, kelmarin.
Jenazah Hani Suefyan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Alai, Gemereh, Segamat.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan seorang remaja ditemui lemas, manakala seorang lagi masih hilang dan dikhuatiri lemas ketika mandi-manda di Pantai Batu Layar di sini, semalam.
Dalam kejadian pukul 1.26 petang semalam, Mohamad Imran Mohd Nazir, 17, dilaporkan meninggal dunia, manakala Hani Suefyan tidak ditemui.
Sumber : KMN