Menantu Tetak Kepala Bapa Mertua Dengan Parang, Bergaduh Sebab Tebang Pokok Pinang | Kerana pokok pinang, seorang lelaki bertindak menyerang dan melukai bapa mertuanya sendiri. Kejadian dilaporkan berlaku di wilayah Tambang, Indonesia 26 September lalu.

Menantu Tetak Kepala Bapa Mertua Dengan Parang, Bergaduh Sebab Tebang Pokok Pinang

Menurut laporan Tribunnews, mangsa yang berusia 72 tahun awalnya datang ke rumah menantunya (pelaku) sekitar jam 7.50 malam waktu tempatan, sekadar ingin bertanya perihal pokok pinangnya yang ditebang pelaku.

Tersinggung dengan pertanyaan tersebut, pelaku mula beradu mulut dengan mertuanya sehingga gagal mengendalikan emosi. Pelaku kemudian mengamuk dan bertindak mengambil sebilah parang di biliknya untuk menyerang bapa mertuanya.

Menurut ketua polis daerah Tambang, Inspektor Mardani Tohenes, hayunan parang tersebut mengenai kepala sebelah kiri warga emas itu sehingga mengalami luka robek.

“Pelaku masih menghayunkan parang untuk kali kedua. Namun ia berjaya ditangkis mangsa hingga mengakibatkan lengan kirinya tergores,” ujar Mardani, memetik laporan Tribunnews.

Kejadian tersebut dilaporkan sendiri oleh mangsa yang ketika itu bergegas ke balai polis terdekat dalam keadaan kepala berdarah.

Pelaku berusia 52 tahun itu berjaya ditangkap di rumahnya sekitar jam 2 petang semalam dan telah dibawa ke Balai Polis Tambang. Pelaku telah mengakui perbuatannya mencederakan mangsa dan kini ditetapkan sebagai suspek atas tindakan penganiayaan.

Sumber : SK, Tribunnews

Share.

Leave A Reply