Mexico: Kumpulan Penjenayah Rempuh Penjara Guna Kenderaan, Bebaskan 9 Banduan | Sebuah kumpulan samseng dilaporkan telah merempuh masuk ke dalam sebuah penjara di Mexico menggunakan kenderaan dipercayai trak serta penyaduran perisai buatan sendiri sebelum melepaskan tembakan ke arah pengawal bagi menyelamatkan sembilan banduan, baru-baru ini.
Beberapa kenderaan lain turut dibakar dalam ‘plot’ menakjubkan yang menyasarkan penjara di tengah bandar Tula manakala banduan yang berjaya ‘meloloskan’ diri dari penjara antaranya adalah ketua organisasi jenayah tempatan yang dikenali sebagai Pueblos Unidos.
Berikutan rempuhan yang berlaku, dikhabarkan seorang pengawal penjara dan seorang pegawai polis cedera dalam serangan awal tersebut, menurut pihak berkuasa negeri Hidalgo.
Menurut laporan media tempatan, kumpulan terbabit juga dilaporkan telah meletupkan beberapa kereta berdekatan menggunakan bom, namun pihak berkuasa telah mengeluarkan kenyataan bahawa kejadian terbabit masih lagi dalam siasatan berikutan dua buah kenderaan berdekatan dilaporkan turut terbakar.
Setiausaha Dalam Negeri Hidalgo, Simón Vargas berkata, sekumpulan penjenayah bersenjata telah menceroboh masuk ke dalam penjara menaiki beberapa kenderaan, dan perlu diperhatikan bahawa berhampiran penjara itu, dua kenderaan dibakar sebagai sebahagian daripada operasi kumpulan penjenayah tersebut iaitu sebagai ‘gangguan’.
Beliau turut menyatakan bahawa kerajaan kini telah memberi arahan kepada pasukan askar, polis dan pengawal negara untuk dikerahkan dalam satu operasi secara besar-besaran bagi memburu kumpulan penjenayah terbabit.
Kumpulan penjenayah yang dikenali sebagai Pueblos Unidos, yang diketuai oleh El Michoacano, dianggap sebagai salah satu kumpulan utama di sebalik kecurian petrol di negeri Hidalgo.
Sebelumnya, kumpulan penjenayah di Mexico dilaporkan sering ‘menyerbu’ penjara sejak 15 tahun lalu, merosakkan kemudahan awam dan menyamar sebagai pasukan keselamatan untuk membebaskan banduan di penjara sini.
Difahamkan bahawa serangan ini berlaku ketika Mexico sedang menyambut ulang tahun ke-15 pengisytiharan Presiden Mexico ketika itu, Felipe Calderón mengenai perang ketenteraan melibatkan kartel dadah di negara terbabit.
Sumber: The Guardian