Mungkin Ramai Yang Tak Tahu, Kandungan Minyak Wangi Juga Boleh Bawa Kepada Alahan | Bau yang harum semestinya menjadi dambaan setiap orang, malahan mampu untuk meningkatkan keyakinan diri individu itu. Untuk sentiasa tampil harum sepanjang hari, memakai minyak wangi telah menjadi salah satu inisiatif untuk kekal berbau harum.
Teknik menyemburkan minyak wangi pada nadi badan iaitu pada pergelangan tangan dan belakang telinga sering kali digunakan oleh orang ramai. Ini kerana itu merupakan titik terbaik untuk menyemburkan minyak wangi hingga mampu membuatkan minyak wangi itu mampu tahan lama sehingga hampir 12 jam.
Bagi yang gemar memakai minyak wangi semestinya sudah mengetahui tips berguna ini. Minyak wangi digunakan untuk mengatasi masalah bau badan disamping meningkatkan keyakinan individu itu. Pemilihan jenis wangian minyak wangi turut melambangkan personaliti pengguna itu sendiri.
Terdapat pelbagai kategori minyak wangi boleh ditemui dalam pasaran. Antara jenis kinyak wangi yang ada dalam pasaran tempatan mahupun antarabangsa adalah parfum, eu de parfum (EDP), eu de toilette (EDT) dan eu de cologne (EDC).
Bagi mereka yang tidak mempunyai sebarang alahan terhadap minyak wangi semestinya amat gemar bermandikan haruman minyak wangi kegemaran mereka. Namun sebaliknya pula yang berlaku kepada mereka yang mempunyai alahan terhadap bau wangi dari minyak wangi.
Bagi mereka yang mempunyai alahan terhadap minyak wangi semestinya akan merasa sengsara terhadap bauan ini. Bukan segelintir malahan terdapat ramai juga yang mempunyai alahan terhadap minyak wangi.
Menurut Pengamal Perubatan Am, Dr Zubaidi Ahmad berkata, seorang saintis dari Melbourne University, Australia, Dr Anne Steinemann, mereka yang mempunyai alahan terhadap minyak wangi ini sebenarnya bukanlah alah terhadap minyak wangi itu. Tetapi mereka ini alah terhadap kandungan bahan kimia yang terdapat dalam minyak wangi itu sendiri.
Ini digelar sebagai ‘Multiple Chemical Sensitivity Syndrome’ (MCSS) dan seorang daripada tiga individu dewasa mengalami masalah ini. Gangguan pernafasan, sakit kepala, bersin, mata berair dan ruam pada kulit merupakan antara gejala alahan terhadap minyak wangi.
Menurut Dr Zubaidi, seorang pakar kesihatan dari North Carolina State University, Dr Heather Patisaul memberitahu, minyak wangi boleh menyebabkan alahan disebabkan oleh bahan kimia iaitu ‘Phthalates’ dan ‘Diethyl Phtalate’ (DEP) yang ada di dalam wangian terbabit.
Dr Caroline Cox dari ‘Center for Environmental Health’ menyebut bahawa kandungan phthalates dalam minyak wangi boleh meningkatkan gangguan reproduksi (pembiakan) lelaki. Kepada lelaki masalah ini akan menyebabkan kualiti sperma mereka menjadi rendah dan menyebabkan isteri sukar hamil. Manakala kepada perempuan, Kesan phthalates kepada wanita pula mungkin menyebabkan mereka mengalami masalah sindrom ‘ovary polisistik’ (PCOS).
Terdapat juga dakwaan yang mengatakan bahawa sebahagian minyak wangi boleh menyebabkan punca barah payudara dan kesukaran menurunkan berat badan.
Bagi mereka yang mengalami alahan terhadap minyak wangi, dinasihatkan lebih berhati-hati dalam memilih wangian yang dijual dalam pasaran. Disarankan untuk memeriksa terlebih dahulu kandungan bahan kimia yang digunakan dalam minyak wangi yang ingin dibeli.
Sumber: Harian Metro