‘Naik Minyak’, Gajah Liar Rosakkan Tanaman Serta Pijak Lembu Sehingga Mati | Penduduk di Kampung Subong, Gua Musang terpaksa berputih mata selepas terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM50,000 angkara seekor gajah liar di sini, baru-baru ini.
Kejadian melibatkan seekor gajah liar yang sedang ‘naik minyak’ menyebabkn hasil tanaman kira-kira sebanyak 30o batang pokok pisang serta dua ekor lembu ternakan menjadi korban selepas diserang gajah tersebut kira-kira pada jam 10 malam sehingga 3 pagi itu .
Menurut seorang penduduk, Zakaria Omar, 53, dalam satu laporan bahawa gajah tersebut telah dilihat berkeliaran di kebun dua minggu yang lalu namun keadaan dilihat semakin runcing apabila gajah tersebut dilihat semakin bertindak ganas kebelakangan ini. Menurutnya lagi, gajah terbabit telah menghancurkan sebanyak 150 pokok pisang yang sedang diusahakan malah dia baru sahaja mengeluarkan hasil dan belum sempat untuk menjualnya.
Menurut laporan dari Bernama, Zakaria mengatakan akibat daripada kejadian tersebut, penduduk kini sudah takut untuk memasuki kawasan kebun sama ada bagi kerja menoreh getah atau menebang pokok pisang kerana risau akan keselamatan mereka.
Seorang penduduk yang juga tinggal di kawasan berdekatan, Nazri Hamzah, 52 berkata dia sering melihat beberapa ekor gajah liar berkeliaran di kawasan kebun penduduk setempat serta beberapa kali terserempak dengan gajah liar di kebunnya terutama pada waktu siang.
Tambahnya lagi, kehadiran gajah liar pertama kali dapat dilihat selepas penduduk kampung telah membuka kebun pisang serta menanam pokok pisang tersebut 30 tahun yang lalu.
Kejadian ini telah dimaklumkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) agar tindakan selanjutnya dapat diambil manakala penduduk setempat juga berharap agar kemelut ini dapat diselesaikan secepat mungkin kerana kebanyakan penduduk setempat masih bergantung kepada hasil penanaman pokok pisang serta kerja menoreh yang menjadi sumber utama pendapatan mereka.
Sumber: Bernama