Datuk Seri Najib Tun Razak akan dihantar semula ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman penjara sebaik sahaja pihak pakar perubatan Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC) atau Hospital Kuala Lumpur (HKL) memberikan pelepasan perubatan ke atas bekas Perdana Menteri itu.

Najib Dihantar Semula Ke Penjara Selepas Pelepasan Perubatan

Jabatan Penjara Malaysia dalam kenyataan pada Rabu menjelaskan, pada 12 September lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah memerintahkan agar Ahli Parlimen Pekan itu dibawa ke hospital untuk menjalani pemeriksaan setelah dimaklumkan keadaan kesihatan beliau tidak memuaskan.

Jelasnya, selaras dengan Seksyen 37 Akta Penjara dan peruntukan di bawah Akta tersebut serta Peraturan Minimum Standard Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Tahanan (The Nelson Mandela Rules), Jabatan Penjara telah menghantar Najib ke HKL untuk rawatan oleh pakar perubatan di sana.

Katanya lagi, pada 19 September 2022, pihak HKL telah merujuk Najib ke HRC untuk rawatan dan pemantauan lanjutan.

Menurut kenyataan itu, sebagai pihak berkuasa yang melaksanakan tanggungjawab di bawah Akta Penjara, selain melaksanakan hukuman yang telah dijatuhkan, pihak Jabatan Penjara juga bertanggungjawab memastikan tahap kesihatan banduan sentiasa dipantau dan dijaga.

Jelasnya, ini termasuklah penyediaan kemudahan rawatan dan ubat-ubatan sebagaimana yang disyorkan oleh pegawai perubatan kerajaan.

Sumber: Sinar Harian

Share.

Leave A Reply