Nelayan dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke laut dari perahu ketika menangkap ikan di Kampung Semera, di sini, awal pagi hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 5 pagi, mangsa dikenali sebagai Faddrul Razie Zaini, 30, turun ke laut bersama lima lagi rakannya.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan pada 6.29 pagi dan menghantar anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Asajaya ke lokasi kejadian.
“Kejadian dipercayai berlaku selepas dayung yang dipegang mangsa patah menyebabkannya jatuh ke laut. Rakannya cuba menyelamatkan mangsa, namun gagal.
“Bimbang keselamatan mangsa, rakannya memaklumkan perkara itu kepada pihak bomba bagi mendapatkan bantuan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, keadaan cuaca baik semasa kejadian dilaporkan berlaku, manakala jarak lokasi kejadian dengan pantai dalam anggaran dua batu nautika.
Katanya, setakat ini operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa masih dijalankan dengan bantuan nelayan serta penduduk kampung termasuk ahli keluarga mangsa.
Sumber : Harian Metro