Netizen Terharu Dengan Pengorbanan Petugas KKM Jalan Kaki Pakai PPE | Peningkatan jangkitan Covid-19 yang semakin mencanak naik di negara ini telah menimbulkan kegelisahan kepada rakyat. Bukan itu sahaja, majoriti petugas barisan hadapan berada dalam keletihan kerana berhadapan ribuan pesakit baharu setiap hari, selain perlu memastikan tahap keselamatan rakyat terjamin.
PENGKALAN HULU: Pengorbanan petugas barisan hadapan melakukan pemeriksaan kesihatan dari rumah ke rumah untuk mengesan jangkitan Covid-19 dalam kalangan penduduk di Kampung Pengkalan Hulu, Perak wajar diberi pujian dan penghargaan.
Kesungguhan mereka berjalan kaki dalam keadaan cuaca panas terik dari rumah ke rumah dengan memakai pakaian pelindung diri (PPE) telah mendapat perhatian pengguna Twitter, Rohana Ismail. Dalam perkongsiannya di Twitter, dia berkongsi ciapan penghargaan dan ucapan terima kasih tidak terhingga kepada petugas barisan hadapan Pengkalan Hulu (PH) di atas kerja keras mereka.
“Pertengahan April baru ini kes mencanak naik kat PH (Pengkalan Hulu), dan hari ini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) PH memutuskan untuk berjalan dari rumah ke rumah dan memeriksa setiap orang yang ada simptom (Covid-19) kena angkut buat ujian swab Covid-19. Usaha mereka tak ada dekat mana-mana weh,” tulisnya di halaman Twitter pantas menarik perhatian warganet.
Namun ada juga warganet yang mempersoalkan kenapa tidak menggunakan kenderaan seperti kereta atau motosikal hingga perlu berjalan kaki.
Dalam pada itu, tampil di ruangan komen memberitahu, “Daerah ini kecil je, kenderaan terhad. Tambahan di sini ada tim bergerak orang asli yang masuk ke kampung-kampung orang asli di pedalaman hampir setiap hari. Ini pun mereka dah ‘delegate’ kenderaan sebaik mungkin dengan kerjasama Majlis Keselamatan Negara (MKN) di sini termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT).”
Tambahnya, pihak petugas barisan hadapan juga telah cuba menunggang motosikal bagaimanapun pemakaian PPE menyukarkan pergerakan selain menjadi licin.
Sungguhpun begitu, rata-rata warganet berasa terharu kerana mereka sanggup merisikokan diri sendiri untuk merawat orang ramai sedangkan mengetahui melawan wabak Covid-19 bukanlah tugas yang mudah apatah lagi terpaksa mendepani musuh yang tidak nampak.
Sumber: Sinar Harian