Minggu lalu, telah tular satu video adegan panas kontroversi di media sosial yang dipercayai telah dijadikan sebagai promosi sebuah drama baharu yang akan ditayangkan pada Ramadan akan datang.
Klip adegan panas itu telah dimuat naik oleh pelakon Zul Ariffin di laman media sosial untuk mempromosikan drama tersebut yang dipercayai atas tujuan publisiti.
Malah, ada sesetengah individu yang mengangap ia dibuat atas kepercayaan si penularnya bahawa ‘bad publicity is still publicity’ yang bermaksud publisiti tidak elok tetap publisiti.
Isnin yang lalu, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) telah menyatakan bantahan serta rasa kesal dengan tindakan penularan klip adegan panas tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif Yadim, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh dalam kenyataan berkata, Yadim percaya penularan klip itu telah dibuat atas kepercayaan si penularnya bahawa ‘bad publicity is still publicity’.
Beliau berkata, dalam meraikan kebebasan berkarya, mesej yang ingin disampaikan melalui setiap karya seni juga perlu dititikberatkan kerana hasil karya seni ini akan menjadi cerminan kepada masyarakat terutamanya golongan muda.
Dalam pada itu, Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) berkemungkinan tidak akan membenarkan drama tersebut yang berjudul ‘Perempuan Itu’ ditayangkan di televisyen.
Hal ini berlaku, sekiranya pihak produksi gagal memberikan laporan bertulis yang munasabah berkaitan kontroversi adegan panas yang melibatkan lakonan Zul Ariffin bersama Siti Hariesa.
Menteri KOMM, Tan Sri Annuar Musa berkata, pihaknya sudah meminta produksi berkenaan mengemukakan laporan bertulis yang berkaitan perkara tersebut.
Selain itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) juga akan mengadakan satu pertemuan dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) untuk membincangkan isu adegan panas tersebut.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, adegan tersebut dilihat bercanggah dengan tuntutan agama Islam serta budaya hidup masyarakat di Malaysia.
Sementara itu, Jakim turut mengambil perhatian yang serius terhadap isu video sedutan drama ‘Perempuan Itu’ yang tular di media sosial baru-baru ini.
Ketua Pengarahnya, Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata, Jakim telah menyatakan pendirian serta pandangan kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM), Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) supaya tindakan tegas dapat diambil dengan segera.
Berdasarkan penelitian, jabatan ini menentang keras penyiaran program seperti ini yang jelas mempamerkan perbuatan-perbuatan yang telah dilarang dalam Islam.
Mengulas lanjut, Datuk Ahmad Marzuk Shaary meminta umat Islam agar berhenti untuk menormalisasikan unsur lucah di dalam drama di Malaysia.
Katanya, video drama tersebut yang mengandungi lakonan adegan lucah baru-baru ini dalam drama dikatakan bakal disiarkan pada bulan Ramadan dan ianya tidak sepatutnya berlaku dalam kalangan umat Islam.
Walau bagaimanapun, selepas menerima kritikan serta kecaman daripada pelbagai pihak susulan penularan klip video tersebut, Zul Ariffin akhirnya tampil untuk memohon maaf melalui Instagram story beliau pada Isnin.
Beliau memberitahu akan lebih berwaspada ketika memuat naik sebarang kandungan di media sosial selepas ini bagi mengelak kejadian yang sama berulang lagi.
Beliau juga turut mengambil maklum terhadap respons yang diberikan daripada semua pihak berhubung klip kontroversi yang dipaparkan sebelum ini.
Sumber: Sinar Harian