Orang Ramai Diminta Berwaspada Penipuan Macau Scam Guna Nama LHDNM | Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) ingin mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dengan sindiket penipuan Macau Scam yang tidak berputus asa dalam memperdayakan mangsa.
Menurut maklumat yang dikongsikan kepada LHDNM oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Polis Diraja Malaysia (JSJK, PDRM), bagi tempoh 1 Januari 2021 sehingga 27 Mei 2021, sebanyak 556 kes membabitkan kerugian lebih RM15.26 juta berkaitan Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai LHDNM telah disiasat.
Modus operandi yang digunakan oleh scammer adalah dengan menghubungi mangsa melalui panggilan telefon dengan memperkenalkan diri sebagai pegawai LHDNM.
Scammer kemudiannya akan memberitahu bahawa syarikat atau peniagaan mangsa masih mempunyai tunggakan cukai yang belum dijelaskan.
Mangsa yang terkeliru dengan panggilan ini kebiasaannya membuat penafian dan seterusnya panggilan akan disambungkan pula kepada individu yang menyamar sebagai polis, pegawai dari Bank Negara Malaysia (BNM) atau pegawai dari agensi penguatkuasa yang lain dan memaksa mangsa untuk membuat laporan rasmi.
Mangsa seterusnya akan dikaitkan pula dengan pengubahan wang haram, pengedaran dadah atau jenayah yang lain sehinggakan mangsa menjadi panik dan mereka diminta untuk menyerahkan maklumat perbankan termasuklah nombor TAC/OTP.
Mangsa kemudiannya menyedari bahawa mereka ditipu apabila mendapati wang dalam akaun mereka telah dipindahkan ke akaun bank pihak ketiga dan suspek tidak dapat dihubungi semula.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dan lakukanlah pengesahan dengan LHDNM terlebih dahulu terhadap setiap panggilan, e-mel mahupun surat yang meragukan dengan menghubungi talian Hasil Care Line atau talian pegawai yang boleh disemak senarainya pada portal rasmi www.hasil.gov.my atau hadir ke cawangan LHDNM berhampiran.
Di samping itu, orang ramai juga boleh membuat semakan modus operandi sindiket penipuan ini melalui media sosial dan portal rasmi LHDNM atau klik capaian pantas berikut:
http://www.hasil.gov.my/bt_goindex.php?bt_kump=10&bt_skum=1&bt_posi=1&bt_unit=2&bt_sequ=1
Pihak LHDNM juga menegaskan bahawa pihaknya tidak membincangkan hal-hal berkaitan percukaian melalui panggilan telefon peribadi. Sebarang permohonan maklumat daripada pembayar cukai dan arahan pembayaran cukai tertunggak akan dilakukan secara teratur melalui surat atau e-mel rasmi yang menggunakan domain @hasil.gov.my.
Sumber: Metro