Padah Menyamar Sebagai Seorang Anggota Polis, Lelaki Ditahan | Lelaki menyamar menjadi anggota polis dengan menghantar rakaman video menunjukkan sepasang gari melalui aplikasi sosial bagi tujuan menakutkan mangsa.
Bagaimanapun, perbuatan individu berusia 30-an itu membawa padah apabila dia ditahan polis semalam sejurus mangsa yang juga seorang lelaki membuat laporan berhubung insiden berkenaan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra’ais berkata, tangkapan suspek yang berasal dari Sungai Petani, Kedah itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota daripada JSJ Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara.
“Polis juga turut merampas sebuah telefon bimbit yang digunakan untuk membuat rakaman serta sepasang gari bersama anak kunci daripada suspek,” katanya dalam kenyataan di Facebook PDRM Pulau Pinang, di sini, malam tadi.
Jelasnya, hasil siasatan mendapati suspek dipercayai merakam video itu dengan niat untuk menakutkan mangsa. Katanya, suspek dipercayai meminta mangsa supaya menghormatinya ekoran daripada masalah yang dihadapi mereka berkaitan isu rumah sewa.
“Orang ramai dinasihati supaya tidak sewenang-wenangnya menyamar sebagai penjawat awam kerana ia adalah satu kesalahan jenayah,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam dan Seksyen 89 Akta Polis 1967 kerana memiliki peralatan polis tanpa kebenaran.
Sumber : HM