Pasangan Kembar Didakwa Tipu Peperiksaan Menang | Menipu dan meniru ketika dalam peperiksaan adalah kesalahan yang serius tambahan rakan ‘subahat’ mempunyai jawapan yang sama.

Kayla dan Kylie Bingham. FOTO Agensi

Namun lain pula dengan pasangan kembar di Amerika Syarikat ini apabila mereka dituduh menipu apabila jawapan kertas peperiksaan mereka hampir sama sedangkan mereka duduk dalam jarak yang jauh.

India Times melaporkan, Kayla dan Kylie Bingham didakwa melakukan perbuatan itu ketika menduduki peperiksaan akhir di Universiti Perubatan Carolina Selatan (MUSC) pada Mei 2016 iaitu ketika tahun kedua pengajian.

Kembar berusia 24 tahun ketika itu, didakwa menipu selepas pengawas ujian menyemak keputusan peperiksaan mereka dan mendapati 296 daripada 307 soalan dijawab adalah sama termasuk 54 yang salah.

Menurut fakta kes Jawatankuasa Kehormat sekolah mendakwa kembar itu memberi isyarat kepada satu sama lain dan memberikan nota.

Justeru, jawatankuasa itu membuat kesimpulan pasangan kembar berkenaan menipu dalam peperiksaan.

Bagaimanapun, kembar itu memaklumkan mereka duduk selang 1.2 hingga 1.5 meter di dalam dewan peperiksaan dan tidak dapat melihat satu sama lain.

Mereka kemudian merayu keputusan jawatankuasa itu di mahkamah dan memfailkan tuntutan saman terhadap universiti.

Mereka berhujah bahawa sepanjang tempoh pengajian kedua-dua mereka mempunyai prestasi yang sama secara akademik malah olahraga selama bertahun-tahun dan ia adalah fenomena biasa untuk pasangan kembar.

Berikutan itu, bulan lalu, mahkamah memutuskan sekolah bersalah kerana memfitnah kembar berkenaan dan dituntut membayar sejumlah AS $1.5 juta (kira-kira RM6.6 juta) sebagai ganti rugi.

Difahamkan, kembar itu mempunyai markah yang sangat serupa pada banyak peperiksaan seperti ujian standard (SAT), ujian kemasukan kolej perubatan (MCAT) dan ujian kemasukan sekolah undang-undang (LSTAT).

Menurut Nancy Segal, seorang profesor di California State University, Fullerton’s Twin Studies Center, beberapa kajian mendedahkan bahawa ramai kembar seiras sering melakukan yang serupa dalam ujian dan aktiviti kompetitif yang lain.

Sumber: Harian Metro

 

Artikel Lain

Pelajar Perubatan Ditangkap Tanam Bluetooth Dalam Telinga, Terdesak Mahu Lulus Peperiksaan

Pelajar Perubatan Ditangkap Tanam Bluetooth Dalam Telinga, Terdesak Mahu Lulus Peperiksaan | New Delhi: Seorang penuntut Sarjana Muda Perubatan di India ditangkap kerana menipu selepas didapati menggunakan peranti Bluetooth ketika menduduki peperiksaan akhir semester.

Oddity Central melaporkan, insiden itu berlaku pada 21 Februari lalu ketika 78 penuntut perubatan mengambil bahagian dalam peperiksaan akhir Sarjana Muda Perubatan, Sarjana Muda Pembedahan di Kolej Perubatan Mahatma Gandhi di India.

Difahamkan, penuntut terbabit yang tidak didedahkan identitinya itu diterima masuk ke kolej kira-kira 11 tahun lalu, namun gagal dalam peperiksaan akhir beberapa kali sejak beberapa tahun lalu dan itu adalah peluang terakhirnya untuk lulus.

Disebabkan terdesak untuk lulus, penuntut terbabit menggunakan taktik kotor dengan menanam peranti Bluetooth itu melalui pembedahan di telinganya.

Pengawas peperiksaan, Dr Vivek Sathe mengesyaki ada yang tidak kena terhadap penuntut terbabit selepas menemui telefon bimbit di dalam poket tersembunyi seluarnya.

Selepas diperiksa, telefon bimbit itu didapati dihidupkan dan disambungkan ke peranti Bluetooth terbabit.

“Ketika itu, penuntut berkenaan sedang menjalani peperiksaan Perubatan Am apabila skuad Universiti Devi Ahilya Bai yang diketuai oleh Timbalan Pendaftar Rachna Thakur tiba di tempat itu untuk menjalankan pemeriksaan,” kata Dr Sanjay Dixit, dekan di kolej perubatan itu.

Pasukan itu pada awalnya tidak menemui sebarang peranti Bluetooth hasil pemeriksaan dilakukan terhadap penuntut terbabit.

Hanya selepas dibawa untuk disoal siasat, penuntut itu kemudiannya mengaku memasang penerima mikro berwarna kulit di telinganya oleh pakar bedah telinga, leher dan Tekak (ENT).

Penipuan penuntut India bukan perkara baru, malah pernah menjadi menjadi tajuk utama berita antarabangsa sebelum ini.

Sumber: Harian Metro

Share.

Leave A Reply