Pasangan suami isteri cedera selepas kereta Proton Wira Aeroback dinaiki mereka dihempap pokok tumbang ketika melalui Jalan Terap, Sungai Tengas di sini, hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serdang, Penolong Penguasa Bomba Mohd Faiz Helmi berkata,
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah menerima panggilan kecemasan berhubung terperangkap pokok dan menghempap kereta pada jam 8.22 pagi.
Beliau berkata, sepasukan anggota BBP Serdang bergegas ke tempat kejadian. Sebaik tiba mendapati sebatang pokok tumbang melintang jalan dan menghempap sebuah kereta Proton Wira Aeroback.
“Pegawai operasi mengarahkan anggota supaya menstabilkan kecederaan mangsa yang mengalami pendarahan di tangan serta mengeluarkan mangsa dengan menggunakan peralatan khas,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mohd Faiz berkata, pasangan suami isteri berusia 51 dan 58 tahun itu berjaya dikeluarkan dan diberi rawatan awal di tempat kejadian sebelum dibawa ke Hospital Kulim dengan Jentera EMRS untuk rawatan lanjut.
Beliau berkata, operasi tamat pada jam 9.29 pagi.
Sumber : Harian Metro
ARTIKEL LAIN UNTUK DIBACA
Peniaga Wanita Nyaris Maut Dihempap Pokok Ketika Menggoreng Nasi Pattaya
Pantang maut sebelum ajal apabila seorang peniaga wanita terselamat walaupun gerai jualannya ranap ditimpa pokok tumbang.
Dalam kejadian jam 9.30 malam semalam, mangsa, Normala Musa, 41, sempat keluar dari gerainya terletak di Taman Masjid Tanah Ria, di sini.
Mangsa berkata, ketika kejadian dia sedang memasak nasi goreng Pattaya dipesan seorang pelanggan.

“Saya sempat terdengar bunyi ranting pokok jatuh ke atas bumbung gerai. Mulanya saya sangkakan monyet mencakar bumbung kerana berlaku gangguan haiwan liar itu sejak dua hari lalu.
“Saya dan anak, Mohd Nizam Ghazali, 22, keluar meninjau keadaan bumbung sebelum mendapati ranting pokok jatuh satu persatu menimpa bumbung,” katanya.
Dia berkata, pokok berhampiran gerainya kemudian didapati semakin condong sebelum menghempap keseluruhan gerai yang disewanya daripada Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG).
Katanya, keseluruhan akar pokok itu tercabut manakala pelanggan di gerai sempat lari menyelamatkan diri.
“Alhamdulillah, Allah SWT menyelamatkan saya yang sedang sibuk memasak untuk pelanggan,” katanya.
Meskipun mengalami kerugian hampir RM15,000 berikutan kemusnahan dapur, periuk, kuali serta peralatan lain namun dia bersyukur terselamat.
Sementara itu, petugas MPAG didapati sibuk memotong dahan dan batang pokok bagi membersihkan kawasan berkenaan pagi semalam.