Pastikan Rumah Anda Bebas Dari Lalat | Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Lalat ini bukan sahaja mendatangkan sakit hati, tapi ia juga membawa sekali penyakit. Ia mampu menyebarkan penyakit yang berjangkit. Lalat merupakan binatang yang paling kotor sebab ia hinggap merata-rata tempat.

Ini tip-tip yang mungkin anda tidak pernah tahu untuk memastikan rumah anda bebas dari lalat buah yang menjengkelkan.

1. Buat perangkap lalat buah

Perangkap cuka

Jika racun pilihan anda ialah cuka, isi balang tersebut secukupnya dengan cuka. Pastikan anda menggunakan cuka yang berbau kuat seperti cuka epal, balsamic atau wain merah. Buat corong dengan helaian kertas dan letakkan corong pada mulut balang. Salah satu alternatif adalah dengan menggunakan plastik. Tutup bahagian mulut balang tersebut seketat-ketatnya dengan balutan plastik dan buat beberapa lubang pada balutan plastik tersebut. Ini membolehkan lalat merangkak masuk tetapi menghalangnya daripada keluar.

Perangkap pisang

Oleh kerana lalat buah lebih tertarik dengan bau buah-buahan yang masak ranum, gunakan sedikit pisang atau buah-buahan lain dan letakkan ke dalam balang. Anda boleh tambahkan cuka jika anda mahu. Buat corong yang sama dan biarkan ia menangkap lalat-lalat tersebut untuk anda. Sekiranya anda tidak selesa dengan idea untuk meninggalkan buah-buahan yang telah masak ini dalam keadaan terbuka, anda boleh mempertimbangkan satu lagi pilihan di bawah ini.

Perangkap sabun

Langkah ini amat serupa dengan perangkap cuka. Pertama, anda perlu membuat campuran air dengan beberapa titisan cecair pencuci pinggan dan satu sudu cuka. Anda boleh juga menggunakan kaedah balang dan corong atau biarkan campuran ini dalam mangkuk kecil atau cawan. Bau cuka akan menarik lalat buah ke perangkap sementara sabun akan memecah ketegangan permukaan cecair tersebut yang akan menyebabkan lalat jatuh dan lemas.

2. Gunakan tumbuh-tumbuhan

Kadangkala, jalan terbaik untuk menyelesaikan sesuatu perkara adalah dengan cara semula jadi. Anda boleh meletakkan tanaman karnivor, seperti Venus Flytrap, di meja dapur anda. Seperti namanya, tanaman ini menangkap lalat buah dengan daunnya yang melekit dan terus menghadamkannya. Pada masa yang sama, anda juga boleh menggunakan herba-herba lain untuk menghalau serangga kecil ini. Beberapa tanaman hijau yang disyorkan ialah pudina, daun selasih, daun salam, wormwood, lavender dan marigold. Lalat amat benci akan bau tumbuhan ini dan dengan meletakkan beberapa pasu tanaman ini di rumah anda, ianya akan membantu mencegah perosak ini daripada memasuki rumah anda.

3. Hapuskan tempat-tempat pembiakan

Tidak dapat disangkal lagi bahawa perkara pertama untuk menghalang sebarang infestasi serangga di rumah anda adalah dengan menjaga kebersihannya. Pastikan anda tidak meninggalkan pinggan-mangkuk di dalam sinki dan tanamĀ  prinsip untuk membasuh semua pinggan sejurus selepas makan. Lalat buah cenderung untuk bertelur pada sisa yang terkumpul pada piring kotor. Anda juga perlu melakukan pemeriksaan berkala pada tuala dapur, terutamanya yang lembap, untuk mengelakkan lalat daripada membiak di situ. Jangan lupa untuk membuang buah-buahan yang sudah terlampau masak atau telah pun busuk di dapur anda. Jika anda ingin cuba untuk mengurangkan sisa buangan, anda boleh menggunakan bahan-bahan buangan ini dan memulakan sistem kompos dalaman anda sendiri.

4. Halau dengan minyak pati/aromaterapi

Tidak dapat dinafikan bahawa lalat buah akan tertarik dengan bau yang kuat dah tajam seperti cuka sari apel, namun, anda akan terkejut apabila mengetahui bahawa mereka mendapati minyak pati/aromaterapi lebih menjijikkan. Gunakan minyak wangi Eucalyptus atau Lavender di dapur untuk mengusir mereka. Anda juga boleh memilih untuk mengisi botol semburan dengan air dan tambah lima hingga sepuluh titis minyak serai sebelum menyembur di sekeliling kawasan dapur anda. Fokus utama mesti pada kawasan yang mudah dihinggapi lalat seperti sinki dan juga tong sampah.

5. Basuh kesemua bahan mentah sebelum disimpan

Satu lagi langkah berjaga-jaga yang anda boleh praktikkan ialah dengan mencuci semua bahan runcit mentah yang telah anda beli. Jangan hadkan ini hanya kepada buah-buahan dan sayur-sayuran. Amalkan untuk mencuci telur dan buah-buahan yang biasanya tidak akan dicuci seperti pisang. Ia merupakan langkah yang baik untuk membilas bahan-bahan makanan ini kerana mereka boleh mengandungi kesan lekitan dari bahan-bahan lain yang akan menyebabkan lalat buah ini tertarik. Pastikan anda menyimpan semua bahan-bahan yang telah dibasuh tersebut dengan teratur.

 

Sumber: iProperty

Share.

Leave A Reply