Mayat seorang wanita dipercayai warga tempatan ditemui di dalam longkang belakang sebuah rumah di Taman Perpaduan, Bakar Arang, dekat sini pada petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, polis menerima laporan tentang penemuan mayat itu daripada orang awam kira-kira pukul 5.47 petang semalam.
“Sepasukan anggota dihantar ke lokasi dan menemui mayat hanya memakai baju kelawar tanpa pakaian dalam. Hasil siasatan awal, seorang saksi memberitahu terhidu bau busuk dari belakang rumah.
“Pada mulanya dia menyangka bau itu datang dari dalam tandas lalu mencuci tandas rumahnya itu, namun bau busuk masih tidak hilang. Saksi itu kemudian membuka pintu belakang rumanhya dan menemui mayat seorang wanita di dalam longkang,” katanya di sini semalam.
Zaidy berkata, Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah telah melakukan pemeriksaan di tempat kejadian dan mayat wanita itu dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk bedah siasat.
Kata beliau, sesiapa yang menyaksikan kejadian atau kehilangan ahli keluarga diminta tampil membuat laporan di balai polis terdekat dan buat masa ini polis mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut sementara menunggu keputusan bedah siasat.
Sumber : Kosmo
ARTIKEL LAIN YANG MENARIK UNTUK DIBACA
Bayi Masih Bertali Pusat Dan Ada Uri Ditemui Di Tempat Pembuangan Sampah
Seorang bayi perempuan dipercayai baharu dilahirkan, ditemui ditinggalkan di tempat pembuangan sampah tepi Jalan Masjid berhadapan Bella Damansara, Kampung Sungai Ara, Petaling Jaya, pagi semalam.
Bayi berkenaan ditemui oleh seorang wanita bersama anak lelakinya, ketika melalui kawasan itu kira-kira jam 7.15 pagi sebelum bertindak membawa bayi berkenaan ke Balai Polis Damansara.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, berkata bayi perempuan itu dijumpai dalam keadaan berbalut kain kuning, masih bertali pusat dan uri bersamanya.
“Bayi itu kemudian dibawa ke Hospital Sungai Buloh (HSB) untuk rawatan lanjut dan hasil pemeriksaan doktor, bayi dalam keadaan stabil dan mempunyai kesan kemerahan di pipi sebelah kiri.
“Berat bayi adalah 2.5 kilogram dengan ketinggian 49 sentimeter dan bayi itu kini ditempatkan di Wad Kanak-kanak HSB untuk rawatan dan pemerhatian,” katanya.
Mohamad Fakhrudin berkata, usaha mengesan suspek yang membuang bayi itu sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan.
Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes ini boleh menghubungi balai polis berhampiran atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03-79662222 untuk membantu siasatan.
Sumber : KMN