Pemandu Lori R@gol Kanak-Kanak Sehingga Melahirkan Dihukum Penjara 15 Tahun | Tawau: Pemandu lori dihukum penjara 15 tahun dan lima kali sebatan oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah merogol kanak-kanak perempuan berumur 14 tahun sehingga melahirkan bayi perempuan, 13 Mac lalu.

Hakim Rosli Ahmad menjatuhkan hukuman itu ke atas tertuduh berusia 25 tahun selepas menerima pengakuan bersalah mengikut Seksyen 376 (2)(d) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebat.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang juga sepupu kepada ibu mangsa dituduh merogol kanak-kanak berumur 14 tahun (ketika kejadian) di dalam bilik tidur di Bandar Sri Indah, dekat sini, antara 2 pagi hingga 3 pagi, pada Julai hingga Ogos tahun lalu.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Suhaimi Suriana manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mohd Suhaimi dalam hujahnya memohon hukuman berat ke atas tertuduh mengambil kira faktor kepentingan awam selain tahap keseriusan kes.

“Hukuman berat juga wajar dikenakan sebagai pengajaran ke atas tertuduh yang mempunyai pertalian darah dengan mangsa selain faktor trauma dialami mangsa selepas dirogol berkali-kali sehingga melahirkan bayi.

“Malah tertuduh sedikitpun tidak menunjukkan perasaan insaf atau menyesal atas perbuatannya semasa diberi peluang membuat rayuan,” tegasnya.

Hakim kemudian memerintahkan tertuduh dipenjara 15 tahun dan lima kali sebatan manakala pelaksanaan hukuman berkuat kuasa tarikh tangkapan iaitu pada 15 Mac 2023.

Berdasarkan fakta kes, pada 13 Mac jam 3.45 petang, mangsa dibawa ke hospital oleh neneknya selepas mengadu sakit perut dan pemeriksaan doktor mendapati mangsa mengandung 36 minggu sebelum selamat melahirkan bayi perempuan jam 7.15 malam hari sama.

Mangsa kemudiannya mendedahkan dirogol oleh tertuduh yang tinggal sebumbung di rumah neneknya sebelum ditangkap pada 15 Mac.

Sumber: Harian Metro

 

Baca Juga: Warga Emas R@gol Dua Cucu Tiri Umur 7 & 6 Tahun Dipenjara 10 Tahun | KUALA TERENGGANU – Perbuatan serakah seorang lelaki warga emas memperkosa dan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua cucu tirinya pada tahun lalu berbalas apabila dia dihukum penjara 10 tahun oleh Mahkamah Sesyen, di sini hari ini.

Hakim Nooriah Osman turut memerintahkan hukuman 10 sebatan terhadap tertuduh berusia 68 tahun berkenaan.

Berdasarkan pertuduhan pertama, dia didakwa merogol mangsa yang ketika itu berumur tujuh tahun 11 bulan di sebuah rumah di daerah ini antara pukul 2 petang sehingga 7 malam, Oktober tahun lalu.

Bagi kesalahan tersebut, lelaki warga emas berkenaan dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan 10 sebatan mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan.

Pertuduhan kedua dan ketiga pula, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa dan adiknya yang berusia enam tahun lima bulan di lokasi, waktu dan tarikh sama.

Tertuduh dikenakan hukuman penjara empat dan dua tahun serta dua sebatan bagi setiap kesalahan tersebut mengikut Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Hakim Nooriah kemudiannya mengarahkan hukuman penjara serentak bagi tuduhan pertama dan kedua manakala hukuman penjara ketiga bermula sejurus tertuduh selesai menjalani hukuman pertama dan kedua.

Selain itu, datuk tiri durjana itu turut diarahkan berada dalam pengawasan polis selama setahun mengikut Seksyen 27
Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 sebaik selesai menjalani hukuman penjara.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Intan Nor Hilwani Mat Rifin manakala tertuduh pula diwakili peguam, Mohd. Asaari Salleh.

Sumber: Kosmo

Share.

Leave A Reply