Tindakan seorang pemandu kereta jenis Proton Wira yang melanggar dan merempuh penunggang motosikal di Jalan Sutera Tanjung, Taman Sutera Utama, Johor Bahru, Johor pada Isnin mengundang perhatian ramai.
Ketika kejadian, pemandu tersebut difahamkan terlebih dahulu ditahan kedua-dua penunggang p-hailing terbabit akibat perselisihan faham yang berlaku di laluan berkenaan.
Salah seorang daripadanya dilihat menjerit dan mendesak suspek supaya turun dari kenderaannya, namun situasi kian meruncing apabila pemandu itu mula membuat pusingan U dan merempuh salah seorang penunggang terbabit.
Punca sebenar kejadian masih belum diketahui namun ada pihak mendakwa situasi itu berpunca akibat salah faham yang tercetus di laluan berkenaan hingga menyebabkan penunggang tersebut hampir dilanggar.
Dikongsikan di laman Facebook, rakaman tular itu menerima lebih 500 perkongsian setakat ini dan hangat diperkatakan warganet.
Insiden itu sekali gus menyebabkan laluan berkenaan bertukar sesak dan kenderaan suspek dilihat mengalami kerosakan di bahagian hadapan akibat pelanggaran tersebut.
Gagal dihentikan mana-mana pihak, suspek terus memecut dari lokasi kejadian tanpa menghiraukan keadaan rider terbabit.
Di ruangan komen, warganet turut mengecam perbuatan pemandu Wira tersebut.
“Ada lesen ke tidak pemandu itu, bawa macam tak tahu undang-undang jalan raya, habis semua dilanggarnya, semoga dia dapat ditangkap segera dan dijatuhi hukuman,” kata Hajah Normah.
“Dah agak dia mesti akan langgar motosikal itu, beringat la kalau ada dalam situasi macam itu, jangan duduk di depan atau belakang kenderaan tersebut, kemungkinan besar kita akan jadi mangsa langgar,” jelas Nur Faradila.
“Mabuk ni, kesian rider itu nasib baik tiada nyawa yang melayang, risau tengok kejadian macam ini orang tak bersalah pun boleh jadi mangsa,” tambahMiija.
Namun, belum ada sebarang laporan ataupun kenyataan dikeluarkan pihak polis berkaitan kejadian terbabit dan difahamkan tiada sebarang kecederaan serius dilaporkan berlaku.
Sumber: Majoriti
(VIDEO) Polis Buru Lelaki Berlagak Samseng Di NKVE
Polis giat mengesan seorang lelaki yang berlagak samseng dalam kejadian buli jalan raya di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) berdekatan Plaza Tol Bukit Raja, kelmarin.
Ia susulan tular rakaman video berdurasi 57 saat mengenai insiden berkenaan di media sosial.
Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, mangsa membabitkan wanita berusia 41 tahun membuat laporan mengenai insiden berkenaan pada hari yang sama.
Katanya, siasatan mendapati kejadian berlaku kelmarin sekitar 2.50 petang apabila seorang lelaki menaiki kereta Honda berwarna putih yang tidak berpuas hati kerana mangsa menukar lorong.
“Suspek bertindak memberhentikan kenderaannya di hadapan kenderaan mangsa ketika di laluan tengah jalan raya kemudian memarahi dan memaki-hamun mangsa serta suami.
“Ketika ingin beredar, lelaki berkenaan didapati membaling objek yang tidak dikenal pasti ke arah kereta mangsa,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.
Beliau berkata, tiada pergaduhan secara fizikal berlaku dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 279 Kanun Keseksaan.
“Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini, boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat Inspektor Mohd Syer Aidid Rusazman Sharan di talian 019-2223361,” katanya.
Sumber: KMN