Pemimpin Parti Haluan Kanan Denmark Bakar Salinan Al-Quran, Malaysia Kecam Sekeras-Kerasnya | Sweeden – Seorang pemimpin parti berhaluan kanan di Denmark dilaporkan telah meletakkan senaskah al-Quran di atas lantai sebelum membakarnya di kawasan yang majoritinya penduduk beragama Islam dalam kejadian pada Khamis lalu.

Memetik laporan TRTWorld, lelaki tersebut telah diiringi oleh polis dan pergi ke kawasan awam terbuka di selatan Linkoping sebelum meletakkan kitab suci al-Quran itu di bawah.

Dia kemudian membakar kitab itu tanpa mengendahkan bantahan daripada orang ramai.

Difahamkan, kira-kira 200 penunjuk perasaan berkumpul di dataran untuk menunjukkan bantahan mengenai tindakan itu.

Mereka juga telah menggesa pihak polis supaya tidak membenarkan pemimpin perkauman itu meneruskan tindakannya.

Selepas polis tidak mengendahkan aduan tersebut, satu insiden telah tercetus di mana lalu lintas ditutup dan mereka membaling batu ke arah polis.

Terdahulu, tindakan yang sama juga telah dilakukan oleh kumpulan perkauman sayap kanan Denmark pada tahun 2019.

Pemimpin itu turut membakar al-Quran, membungkus kitab suci tersebut dengan bacon dan melemparkannya ke udara.

Berikutan dari itu, dia telah dilarang memasuki Sweeden selama dua tahun bermula pada September 2020.

Sementara itu, ahli politik kelahiran Turki, Mikail Yuksel yang mengasaskan Parti Warna Berbeza di Sweeden berkata provokasi ‘Islamofobia’ berterusan di bandar-bandar di seluruh Sweeden.
Menurutnya, mereka akan memilih kawasan kejiranan yang penduduknya dipenuhi umat Islam dan tempat berhampiran masjid untuk provokasi.

“Al-Quran dibakar di kawasan kejiranan umat Islam di bawah perlindungan polis di negara yang lantang mempertahankan hak asasi manusia dan kebebasan agama,” katanya.

Dalam pada itu, Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan provokasi tersebut.

Menerusi kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar Negeri hari ini, Malaysia berpendapat tindakan sedemikian telah melangkaui batas dan norma hak kebebasan bersuara.

“Tindakan tersebut merupakan suatu usaha provokasi, menghasut kebencian yang mesti ditolak oleh semua pihak yang inginkan keamanan dan hidup bersama dalam budaya damai.

“Malaysia juga menekankan kepentingan untuk menghapuskan semua bentuk keganasan dan kebencian, termasuklah Islamofobia,” kata kementerian itu.

Tambah kementerian itu lagi, Malaysia akan terus bekerjasama rapat dengan komuniti antarabangsa bagi mencegah dan menghapuskan sentimen islamofobia dan pelampau agama.

SUMBER : SK

Share.

Leave A Reply