Penduduk Kampung Iboi kini hanya mampu pasrah ‘hidup’ dengan debu dan habuk daripada lori mengangkut pasir yang dikorek dari Sungai Kupang di Lata Chelak, tiga bulan selepas kejadian banjir.
Lata Chelak kini menjadi kuari pasir dan difahamkan projek itu akan mengambil masa dua tahun. Lata Chelak merupakan tempat perkelahan dan tumpuan orang ramai sebelum ini.
Tinjauan di lokasi mendapati tebing sungai berkenaan ditimbuni pasir yang meninggi dan kerja mengorek dilakukan sejak pagi menggunakan tiga jengkaut.
Penduduk iaitu Azlina Aziz, 47 mengatakan suaminya, Nor Azizan Aziz, 50, terpaksa menuang air ke permukaan jalan di depan kedai makan mereka. Hal ini untuk mengurangkan debu dan habuk masuk di kedai dan juga menjamin kebersihan makanan mereka.
“Dalam tempoh sehari, kira-kira lima atau enam kali suami saya siram jalan, sekiranya dibiarkan, pelanggan mungkin kurang selesa, selain kedai dan makanan turut dicemari habuk.
“Lori mula masuk ke kampung sejak jam 7.30 pagi dan berakhir jam 6.30 petang. Saya harap syarikat yang menjalankan projek ini dapat bersama-sama menyiram air di permukaan jalan sekiranya cuaca panas atau tidak hujan bagi mengurangkan debu,” kata isterinya.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Iboi, Nor Mohamad Hussain, 60, juga meluahkan rasa terkilannya. Beliau terkilan melihat tanah penduduk kampung digunakan untuk menimbun pasir yang dikorek tanpa sebarang perbincangan pada pertengahan Julai lalu.
Beliau menambah, penduduk atau pemilik tanah tidak mendapat bayaran daripada tanah yang digunakan untuk menjadi tempat menimbun pasir. Namun, yang mendapat keuntungan hasil jualan pasir di situ adalah syarikat terbabit.
“Ada pemilik tanah menyewa rumah lain kerana rumah mereka tidak selamat diduduki, sedangkan mereka berusia dan tidak mampu bekerja lagi.
“Ada juga yang hilang sumber pendapatan selepas pokok getah dan tanaman mereka musnah dalam kejadian banjir puing lalu.
“Jambatan masih belum dibina semula, penduduk tak dapat bekerja, alangkah baiknya jika ada ihsan syarikat terbabit membayar sewa tanah digunakan. Duit itu boleh digunakan untuk kelangsungan hidup penduduk,” katanya.
Sumber: Berita Harian