Penduduk Pangsapuri Seri Cempaka di pinggiran Tasik Kiambang, Serendah, dekat sini hidup dalam ketakutan selepas struktur bangunan berkenaan retak dan mendap.
Penduduk mendakwa telah membuat aduan tahun lalu, namun masalah itu berlarutan hingga mereka bimbang bangunan kediaman itu mengalami lebih banyak keretakan, sekali gus berisiko runtuh.
Bekas EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar Selangor, Haniza Talha yang mendapat aduan mengenai isu terbabit, berjanji akan membantu mencari penyelesaian segera dalam menangani masalah keselamatan itu.
“Memandangkan saya pernah menjadi EXCO Selangor yang bertanggungjawab dalam aspek perumahan antara 2018 dan 2020. Jadi, saya agak arif dengan isu perumahan. Saya berjanji akan memberi keutamaan dalam menyelesaikan masalah ini,” katanya.
Timbalan Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM) itu akan bertanding merebut kerusi Parlimen Hulu Selangor pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Beliau berkata, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan penduduk ada menghubungi pihak berkaitan beberapa bulan lalu.
Katanya, masalah itu diadukan kepada Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta Pejabat Daerah Hulu Selangor.
“Saya difahamkan, hasil siasatan JMG, beberapa cadangan dikemukakan. Ianya termasuk siasatan lanjut sub permukaan dan kestabilan kawasan sekitar, membaiki segera longkang-longkang yang rosak dan mengkaji semula sistem perparitan di sekitar kawasan ini.
“Selain itu, mitigasi di kawasan cerun untuk mengelak air daripada terus keluar mengalir dari cerun,” katanya lagi.
Beliau turut memberi jaminan akan terus berhubung dengan penduduk untuk mendapatkan maklum balas dari semasa ke semasa.
Sumber: Berita Harian