Penemuan 19 Mayat Dibuang Di Kawasan Lombong | Polis Afrika Selatan telah menemukan 19 mayat yang disyaki pelombong haram di Krugersdorp, bandar perlombongan di barat Johannesburg, Afrika Selatan.
Dalam kenyataan, pihak polis (tempatan) memaklumkan pihaknya mendapat panggilan mengenai penemuan 19 mayat yang disyaki pelombong haram di lombong yang masih beroperasi di kawasan itu.
Pihak polis juga menyatakan bahawa hasil siasatan awal menunjukkan mayat berkenaan dipindahkan dari kawasan lain dan dibuang di kawasan ia ditemukan.
Oleh itu, bedah siasat atas 19 mayat itu akan dijalankan bagi menentukan punca kematian semua mangsa.
Ribuan pelombong haram dikenali sebagai ‘zama zamas’ yang bermaksud ‘mereka yang mencuba nasib’ di Zulu, beroperasi di negara itu di mana mereka melombong saki baki mineral di lombong yang sudah tidak digunakan.
Johannesburg, yang juga hab komersial Afrika Selatan dan kawasan sekitarnya, dibina di kawasan tanah dan bekas lombong yang ditinggalkan oleh syarikat perlombongan emas pada 1880an.
Julai lalu, pelombong haram yang dipercayai pendatang asing tanpa izin (PATI) di Afrika Selatan, didakwa bertanggungjawab terhadap kes rogol lapan wanita di Krugersdorp.
Sumber: Berita Harian