Peniaga Nasi Dagang Motosikal Roda Tiga Tak Menang Tangan Selepas Video Tular Di FB | SHAH ALAM – Seorang peniaga nasi dagang ikan aya atau ikan tongkol tidak menyangka video dokumentari berdurasi 10 minit memaparkan kisah perniagaannya yang tular menerusi Facebook beberapa hari lepas menjadikan nasi dagangnya yang dijual menggunakan motosikal roda tiga ‘diserbu’ peminat juadah tradisional negeri Terengganu itu.

Muhammad Khairul Nizam Mamat, 43, berkata, hal itu disedarinya sejak Jumaat lepas apabila melihat orang ramai beratur panjang kira-kira 100 meter seawal jam 6 pagi di kawasan Persiaran Alam Perdana, Bandar Puncak Alam untuk mendapatkan juadah berkenaan walaupun perniagaannya mula beroperasi sekitar jam 7 pagi.

“Saya terkejut pada pagi itu (Jumaat), tiba-tiba orang ramai datang dan siap beratur tunggu saya yang baru nak pasang payung dan sebagainya. Masuk jam 7.30 pagi ke atas, orang semakin ramai beratur. Saya memang cemas sebab risau makanan tidak cukup memandangkan orang beratur panjang dan lama untuk dapatkan makanan.

“Bila semak balik, rupanya video dokumentari sebuah produksi yang saya jalani penggambaran sebelum ini tular. Saya terkejut sebab video tersebut asalnya bukan untuk mempromosikan perniagaan saya sebaliknya untuk memaparkan macam mana seseorang yang ‘jatuh’ ketika Covid-19 melanda negara, bangun kembali mulakan kehidupan,” katanya yang ditemui Bernama di sini pada Selasa.

Muhammad Khairul Nizam yang merupakan anak jati Kampung Tengkawang, Kuala Berang berkata, susulan tular, beliau kini perlu menambah sukatan beras basmati untuk menghasilkan nasi dagang tersebut hingga 10 kali ganda sehari berbanding kira-kira lima hingga lapan kilogram sehari ketika mula menceburi perniagaan itu pada November lepas.

“Sekarang kami masak nasi dagang hingga 50 kilogram beras sehari untuk memenuhi permintaan yang tiba-tiba mendadak ini. Disebabkan itu, empat adik lelaki yang menetap di sekitar Lembah Klang dan Pulau Pinang serta ibu saya dari kampung datang membantu untuk menghasilkan nasi yang agak banyak sebab saya hanya berniaga seorang diri,” katanya.

Bapa kepada tiga anak itu berkata, dalam masa terdekat ini beliau belum menggajikan pekerja kerana masih dibantu adik ketiga, Muhammad Firdaus Mamat, 38, yang turut berniaga nasi dagang di kawasan Seri Kembangan dan adik bongsunya, Muhammad Khairul Aiman, 20.

Menurut Muhammad Khairul Nizam, beliau akan memohon lesen penjaja tepi jalan daripada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dalam masa terdekat dan jika nasi dagangnya terus mendapat sambutan menggalakkan, beliau bercadang membuka dua lagi gerai di Selangor dengan satu daripadanya di Puchong yang akan diusahakan seorang adiknya.

Sumber: Sinar Harian

Share.

Leave A Reply