Peniaga Positif Covid-19, Dua Bazar Ramadan Diarah Tutup | Sebelum ini beberapa bazar Ramadan telah diarahkan tutup disebabkan beberapa faktor seperti ketidakpatuhan kepada prosedur operasi standard (SOP), kawasan berisiko tinggi dan beberapa alasan lain. Hal yang sama turut terjadi kepada dua bazar Ramadan di Terengganu apabila mereka perlu menutup akibat daripada peniaga yang positif Covid-19.
Kuala Terengganu: Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu mengarahkan bazar Ramadan di Kuala Besut dan Bukit Kenak, dalam daerah Besut ditutup selama tujuh hari bermula sebelum ini hingga 7 Mei ini selepas ada peniaga yang disahkan positif Covid-19.
Pengarahnya, Dr Nor Azimi Yunus, berkata kedua-dua bazar itu diarah tutup mengikut Seksyen 18(1)(d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),bagi mencegah penularan Covid-19.
Sebelum itu, tular maklumat menerusi aplikasi WhatsApp mengenai lapan pekerja dari sebuah kafe di daerah berkenaan menjalani ujian saringan Covid-19.
Hasil ujian saringan tersebut mendapati tiga daripada pekerja terbabit yang berniaga di kedua-dua bazar Ramadan iaitu didapati positif Covid-19.
Selain tiga pekerja itu, tiga lagi individu yang disaring turut disahkan positif Covid-19.
Sementara itu, Dr Nor Azimi berkata, 69 lokasi bazar Ramadan dengan 4,326 petak niaga beroperasi di seluruh Terengganu dan daripada jumlah itu 22 lokasi adalah di Kuala Terengganu, Kemaman (19), Besut (10), Setiu (6), Dungun (5), Marang (5) dan Hulu Terengganu (2).
Sumber: Berita Harian, Sinar Harian