Penjual Ayam Bakar Mengaku Tidak Bersalah Lepas Beri Suapan Kepada ASP | Jenayah rasuah merupakan ancaman utama kepada negara. Rasuah berlaku bukan kerana faktor bangsa, agama atau politik. Rasuah berlaku kerana ketiadaan integriti dalam diri individu itu.
Shah Alam: Seorang peniaga ayam bakar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan bersubahat dengan memberikan wang suapan sebanyak RM120,000 kepada seorang pegawai kanan polis sebagai dorongan tidak mengambil tindakan kepada rakannya yang memiliki dadah, minggu lalu.
Tertuduh, Mohd. Nizam Mohamed Lazim, 36, membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Rihaida Rafie selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, bapa kepada dua orang anak itu telah bersubahat dengan rakan lelakinya berusia 39 untuk memberikan suapan RM120,000 kepada seorang Asisten Superintendan yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang.
Sementara itu, suapan yang diberikan itu dikatakan sebagai dorongan tidak mengambil tindakan undang-undang kepada rakannya yang memiliki dadah jenis Syabu yang disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Sementara itu, kesalahan itu dilakukan oleh Mohd. Nizam yang turut bekerja sambilan sebagai juruteknik penghawa dingin di sebuah stesen minyak di Jalan Mahogani pada pukul 9 malam, 24 Mei lalu.
Sekiranya, disabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana lebih tinggi mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan dibaca bersama Seksyen 28 (1) (c) akta sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama.
Dalam pada itu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM Fadhli Ab. Wahab menawarkan jaminan RM100,000 bersama seorang penjamin ekoran keseriusan kes dan hukuman boleh dikenakan kepada tertuduh selain syarat tambahan seperti menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SPRM pada minggu pertama setiap bulan.
Peguam Mohd. Baharuddin Ahmad Kassim memohon jaminan dikurangkan susulan anak guamnya merupakan penanggung tunggal keluarganya selain perlu menjaga dua anak saudaranya yang telah kematian ibu bapa serta mempunyai pendapatan tidak tetap antara RM5,000 hingga RM6,000.
Mahkamah telah menetapkan jaminan sebanyak RM15,000 bersama penjamin dan membenarkan syarat tambahan pihak pendakwaan. Sebutan semula kes ditetapkan 12 Julai depan.
Memetik laporan Kosmo pada 26 Mei lalu, tindakan kurang bijak seorang juruteknik penghawa dingin yang cuba menyogok pegawai kanan polis dengan wang tunai RM120,000 membawa padah apabila ditahan di sebuah stesen minyak di Bandar Sri Damansara, dekat sini.
Sumber: Kosmo