Permainan Video Punca Wanita Hamil Dipukul Suami | Kes keganasan rumah tangga melibatkan sepasang suami isteri telah berlaku di sini selepas seorang isteri yang dilaporkan sedang hamil dua bulan itu dikatakan telah dipukul suaminya gara-gara tidak memberikan telefon mudah alih untuk bermain permainan video diĀ daerah Simeulue, Aceh, baru-baru ini.
Mangsa yang dikenali sebagai AD,21, telah dipukul suaminya RY,24, selepas dia dilaporkan telah menghalang permintaan suaminya untuk bermain permainan yang dikenali sebagai ‘Higgs Domino‘ di rumah mereka dan mangsa turut mengalami kecederaan di paha kiri akibat dipukul suaminya menurut laporan Tribunnews.
Selepas kejadian tersebut, mangsa didakwa telah pergi ke balai polis terdekat bagi membuat laporan berhubung kejadian tersebut dan dia telah dibawa ke hospital oleh pihak polis bagi mendapatkan rawatan susulan.
Sejurus pihak polis ambil maklum berhubung kejadian tersebut, mereka telah bertindak menahan suami mangsa bagi membantu siasatan.
Menurut jurucakap polis daerah Simeule, insiden keganasan rumah tangga sepasang suami isteri ini telah berlaku pada Rabu (28/4/2021), baru-baru ini. Tambahnya lagi, pergelutan yang berlaku adalah disebabkan salah faham melibatkan perebutan telefon mudah alih.
Setelah suspek diambil keterangan, pihak polis telah mengesyorkan supaya pasangan tersebut berdamai dan menyelesaikan masalah dengan baik kerana ia tidak melibatkan hal yang besar dan rumit.
Nasihat mereka kepada orang awam jika ingin melaporkan mengenai kes melibatkan perkelahian, selisih paham, penganiayan ringan kepada pihak polis agar menyelesaikan hal tersebut secara persendirian dan ia diselesaikan secara budi bicara dari hati ke hati.
Tambah mereka lagi, orang awam seharusnya tidak melibatkan emosi dalam pertelingkahan sehingga mampu menyebabkan pelanggaran undang-undang seperti kejadian ini.
Sumber: Tribunnews