Kes Semakin Meningkat, Wad Biasa Jadi Katil Rawatan Kritikal | Penularan wabak Covid-19 yang kembali meningkat sejak beberapa hari yang lepas telah membimbangkan rakyat di negara ini sekaligus telah menyebabkan wad biasa di hospital sekitar Lembah Klang dijadikan sebagai katil rawatan kritikal bagi pesakit Covid-19.
Kuala Lumpur: Sebanyak 80 katil rawatan kritikal telahpun diwujudkan secara ‘repurposed’ di hospital sekitar Lembah Klang bagi memenuhi keperluan peningkatan jumlah pesakit Covid-19 yang kritikal.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah katil itu akan ditambah mengikut keperluan di wad biasa bersesuaian yang telah ditukar fungsinya kepada katil kritikal.
Menerusi posting di laman Facebooknya hari ini, Dr Noor Hisham mengatakan bahawa terdapat peningkatan dalam jumlah pesakit Covid-19 yang kritikal, namun telah diberikan bantuan pernafasan di wad biasa akibat kekosongan katil ICU (Unit Rawatan Rapi) yang terhad.
Dalam pada itu, menerusi hantaran berasingan di Facebooknya, Dr Noor Hisham juga mengatakan bahawa sebahagian ruang pemerhatian Jabatan Kecemasan Hospital Sungai Buloh telah dijadikan sebagai tempat ICU Covid-19. Beliau turut berkata, pesakit di hospital berkenaan kini sedang menanti untuk dipindahkan ke hospital lain di Lembah Klang.
Selain itu, pengurusan ketersediaan katil rawatan kritikal di hospital Covid-19 Lembah Klang dilakukan secara bersepadu di bawah seliaan Pusat Kawalan Bersepadu Covid-19 atau Unified Command Centre (UCC) Wilayah Tengah.
“Kaedah pemantauan dan pengurusan yang lebih efisien ini membolehkan pesakit di hospital Lembah Klang dapat dipindahkan dari satu hospital ke hospital lain yang mempunyai kekosongan katil rawatan kritikal,” katanya.
Terdapat tujuh hospital yang dikhususkan untuk merawat pesakit Covid-19 termasuk sebuah hospital universiti di Lembah Klang yang merangkumi Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Dalam masa yang sama, pihak media semalam melaporkan kenyataan Dr Noor Hisham bahawa keupayaan kapasiti kesihatan negara akan berada pada tahap kritikal sekiranya aliran kes Covid-19 terus meningkat. Dr Noor Hisham dilaporkan berkata ketika ini Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati peningkatan kes dan kadar penggunaan kapasiti kesihatan di negeri sekitar Lembah Klang amat membimbangkan.
Beliau berkata sekiranya trend peningkatan Covid-19 ini semakin berterusan, maka kapasiti kesihatan akan berada pada tahap kritikal sekaligus akan memberikan impak negatif kepada penyampaian perkhidmatan awam secara keseluruhannya.
Sehubungan itu, beliau meminta masyarakat memainkan peranan untuk bersama-sama membantu KKM dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.
Malaysia merekodkan sebanyak 2,881 jangkitan baharu Covid-19 semalam dengan 15 jumlah bagi kes kematian.
Sumber: Berita Harian