Poligami : Syariat Yang Terfitnah | Tajuk ini barangkali menjadi sangat sensitif khususnya kepada kaum wanita. Malah tajuk ini seringkali menjadi kelaziman peperangan berzaman antara kaum lelaki dan wanita.

Persoalan tentang isu poligami menjadi sebuah polimik dari zaman ke
zaman hingga ke saat dan ketika ini. Rata-rata dikalangan para asatizah
juga agak sedikit yang berani tampil memperjelaskan isu ini.

Barangkali banyak hati pihak yang akan terluka bila kita berbicara isu
dan topik hangat ini. Zaman ke zaman, isu ini terus dipolimikkan,
diperdebatkan malah akan dipandang serong jika kita mengamalkan syariat
poligami ini.

Namun disebalik perkataan poligami ini, ramai masyarakat bahkan majoriti
umat islam masih terkeliru dan tidak jelas akan pensyariatan poligami
ini sehingga menjadi polimik perdebatan yang hebat.

Kekeliruan ini bukan sahaja berlegar di ruang minda orang islam, bahkan
dikalangan bukan muslim juga sudah tentu mendatangkan pelbagai persepsi
dan pandangan yang tidak benar akan syariat poligami ini.

Sekiranya kita bertanya secara rawak kepada kaum wanita, adakah mereka
setuju dengan pensyariatan poligami ini, lazimnya mereka tidak bersetuju.

Malah lebih dasyat lagi, beberapa gerakan penentangan poligami dilakukan
khususnya datang dari golongan liberal yang kononnya memperjuangkan hak
keadilan dan kesamarataan.

Pertamanya, sebelum kita mahu menentang atau menolak sesuatu perkara,
terlebih dahulu kita perlu memahami asal usul sesuatu perkara tersebut.

Dalam isu ini, poligami bukanlah sesuatu perkara yang dianggap sebagai
adat kebiasaan, tetapi ianya datang dari syariat Allah Azza Wa Jalla.
Hal ini sabit di dalam firman Nya dalam surah An Nisa ayat 3 yang
bermaksud :

“Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan
yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka berkahwinlah dengan
sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain): Dua, tiga
atau empat.

Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara
isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja atau
(pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu
adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman.

Ayat ini menjadi dalil atau bukti pensyariatan poligami. Ianya jelas
merupakan suatu titah perintah Allah dan menjadi haram dan berdosa besar
sekiranya kita menentang hakikat pensyariatannya yang telah terkandung
di dalam firman Nya.

Syariat poligami ini bukanlah rekaan baginda Nabi Muhammad SAW untuk
tujuan pemuasan nafsu semata-mata. Malah di dalam beberapa kitab utama
agama lain juga terdapat penceritaan tentang pelaksanaan poligami ini.

Untuk itu, tidak kira sama ada lelaki mahupun wanita, kita dilarang
untuk menentang pensyariatan poligami meskipun kita terdapat perbezaan
untuk pelaksanaannya. Umumnya kita harus faham dan sedar bahawa ianya
suatu syariat dan bukannya adat atau rekaan manusia.

Setelah kita ketahui tentang pensyariatan tersebut, maka timbul
persoalan berkenaan pelaksanaan. Adakah ianya suatu tuntutan sunnah atau
sebaliknya.

Ramai dikalangan para lelaki suka menjenamakan poligami ini suatu
tuntutan sunnah kerana baginda Nabi juga mengamalkan syariat tersebut.

Untuk memahami tuntutan yang disebutkan sebagai sunnah ini, mari kita
melihat maksud sunnah yang ditakrifkan oleh para sarjana islam. Dalam
Kitab Ulum Hadis Wa Nusus Min Athar, para sarjana islam mentakrifkan
makna sunnah adalah :

“Apa sahaja yang disandarkan kepada Nabi SAW dariapda jenis perkataan,
perbuatan, iqrar (persetujuan) dan sifat, sama ada berbentuk akhlaq
ataupun fizikal. “

Para sarjana juga meletakkan kaedah untuk sesuatu hukum pensyariatan itu
mestilah melihat dari sudut aspek sebab dan illahnya.

Ini bermakna sesuatu hukum itu tidak boleh ditetapkan berdasarkan zahir
sunnah atau tidak semata-mata sebaliknya perlu melihat kepada maslahah
sesuatu perkara.

Demikian juga tentang soal hukum poligami. Ianya terletak dan bergantung
kepada si pelaku tersebut. Boleh jadi membawa kebahagiaan dan boleh jadi
mengundang kezaliman dalam rumahtangga.

Menerusi firman Nya, Allah Azza Wa Jalla menyebutkan dalam Surah An Nisa
ayat 3 yang bermaksud :

“Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara
isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja”

Ayat ini dengan jelas menunjukkan kepada kita sekiranya ditakuti dan
dibimbangi sekiranya kita melakukan poligami boleh membawa kepada
kezaliman maka cukuplah berkahwin satu sahaja.

Makna perkataan kezaliman ini juga perlu mengambil kira beberapa
persoalan penting seperti pembahagian nafkah, kesihatan, kewangan, dan
kemampuan fizikal. Jika tidak diraikan perkara ini, kebahagian yang
diburu tidak ditemui.

Maka, harus dijelaskan kepada kita semua khususnya kepada masyarakat
bukan muslim diluar sana bahawa hukum asal poligami adalah harus dan ia
akan berubah mengikut situasi tertentu.

Sebagai contoh, hukum poligami asalnya harus boleh berubah menjadi haram
sekiranya boleh mengundang kezaliman, penindasan dan penderitaan dalam
rumahtangga.

Islam tidaklah mewajibkan umatnya untuk berpoligami. Ianya adalah suatu
pilihan mengikut kemampuan diri masing-masing.

Meskipun istilah “kemampuan” itu punyai banyak ruang untuk
diperbahaskan, ianya tidak akan sama sekali merubah syariat itu bertukar
hukum menjadi wajib.

Walaupun poligami itu suatu bentuk pensyariatan, namun pelaksanaannya
diikat dengan kemampuan untuk berlaku adil atau sekurang-kurangnya tidak
menzalimi pasangan kerana pelaksanaannya.

Untuk itu, umat Islam diberi ruang seluas-luasnya untuk bersikap berbeza
dalam soal pelaksanaannya. Kita boleh menolak pelaksanaannya kerana
ditakuti berlaku zalim dan tidak adil.

Pada masa sama, sekiranya kita merasakan mampu bersikap adil setelah
dinilai maka Islam tidak menghalangnya. Meskipun begitu, hakikat
poligami itu kita perlu akur bahawa ianya suatu syariat dari Allah yang
penuh kemuliaan dan keagungan.

Sesungguhnya amalan poligami telah wujud sejak sekian lamanya sebelum
kedatangan Islam lagi di seluruh dunia,

Bahkan dalam agama Kristian dan Yahudi itu sendiri tidak wujud larangan
untuk berpoligami yang telah memungkinkan untuk seseorang itu berkahwin
dengan seramai mana wanita yang diingininya tanpa sebarang panduan.

Lalu datang Islam memandu manusia dengan menghadkan kadar berpoligami
dalam satu-satu masa kepada 4 isteri sahaja dengan syarat-syarat yang
tidak sewenangnya untuk dipenuhi.

Maka di mana keburukkan Islam yang dirasakan berbanding agama-agama dan
tradisi lain?

Realiti hari ini dilihat seolah-olah Islam lah yang mencipta amalan
poligami ini sedangkan Islam tidak menjadikan amalan berpoligami
semberono mengikut hawa nafsu serta keinginan sang lelaki semata-mata.

Bahkan syaratnya ketat dan ancamannya dahsyat bagi mereka yang
mengabaikan hak para isteri dan tidak berlaku adil terhadap mereka.

– FAIDHI AZIS (Bukan nama sebenar)

 

Kredit: IIUM Confessions

 

Share.

Leave A Reply