National Geographic UK tersilap menyatakan Singapura berada di Malaysia di laman Facebooknya yang mengundang warga maya di Malaysia menyerbu ruangan komen dengan kritikan, sindiran dan juga jenaka.
Gambar arkib yang disiarkan di Facebook organisasi itu menunjukkan mercu tanda Singapura yang terkenal iaitu Gardens by the Bay dan ditulis ia berada di “Singapura, Malaysia” pada keterangan hantaran berkenaan.
Ini mendorong rakyat Malaysia untuk meninggalkan komen jenaka atau sindiran pada hantaran itu, dengan kebanyakannya menyiarkan gambar mercu tanda dan keterangan yang menerangkan lokasi secara salah.
Antara mereka yang meninggalkan komen lucu termasuk jenama Malaysia seperti Golden Screen Cinemas (GSC) dan pencipta kandungan komedi MGAG.
GSC memuat naik gambar bahagian dalam pawagam dan menggambarkannya sebagai “teater IMAX yang dibina dengan vibranium di Wakanda, Johor Bahru”, merujuk kepada filem Marvel Black Panther.
Sementara itu, MGAG menyiarkan gambar Menara Telekom dengan keterangan “Dari arkib: Spiderman memanjat Menara Avengers, New York City, Malaysia”.
Tourism Malaysia juga mengulas perkara itu dan berkata, “Tuan atau puan yang dihormati, itu adalah Singapura. Ini Malaysia,” dan disertakan gambar Pintasan Saloma di Kampung Baru dengan latar belakang Menara Berkembar Petronas Kuala Lumpur (KLCC).
Hantaran National Geographic UK itu turut menarik perhatian Adun Luyang, Phoong Jin Zhe.
“Jadi macam Sabah dan Sarawak: Selamat kembali, bro,” komen Phoong di bawah hantaran itu.
Dia juga menjelaskan bahawa Singapura adalah sebahagian daripada Malaysia antara 16 Sept 1963, hingga 9 Ogos 1965.
Sementara itu sehingga berita ini disiarkan National Geographic UK masih belum memadam atau membetulkan hantaran itu.
Sumber : MalaysiaKini