Pulau Pinang Tersenarai Antara 15 Pulau Terbaik Dunia Bagi Pesara Untuk Tahun 2021  | Pulau Pinang atau dikenali sebagai ‘Pulau Mutiara’ ini merupakan sebuah pulau yang menjadi antara destinasi popular untuk bercuti sama ada bagi pelancong domestik mahupun pelacong luar negara. Baru-baru ini, Penang juga telah dinobatkan sebagai antara 15 pulau terbaik dunia bagi pesara untuk tahun 2021 dan menduduki tempat ketiga selepas Malta dan  Mallorca, Spain.

Pulau Pinang Antara 15 Pulau Terbaik Dunia Bagi Pesara Untuk Tahun 2021

Senarai yang telah diterbitkan oleh Travel Awaits menerusi seorang pakar iaitu Kara Williams mengatakan selain Pulau Pinang iaitu antara negara Asia yang berada dalam senarai, Bali, Indonesia juga berada di kedudukan ke sembilan, Koh Samui, Thailand di tempat ke-10 manakala Phu Quoc, Vietnam berada di kedudukan ke-15 dalam carta tersebut.

Tambahnya lagi dalam satu artikel, jika pilihan tempat menetap selepas bersara adalah sebuah pulau yang lengkap bersama pantai, udara laut menyegarkan serta gaya hidup yang lebih santai sudah tentu pulau-pulau di dalam senarai ini pasti menjadi pilihan yang tepat untuk mereka menetap di hari tua. Senarai tersebut juga telah dilakukan oleh para ‘profesional yang berpengetahuan’ mengenai tempat-tempat terkenal meliputi trend persaraan di luar negara selama berabad lamanya.

Kriteria yang diambil kira dalam menentukan kedudukan senarai ini melibatkan kemampuan untuk seseorang menjalani hidup yang lebih sederhana serta mendamaikan tanpa membebankan kewangan mereka. Pulau Pinang yang juga dikenali sebagai salah satu tempat jajahan British dilihat lebih ‘mesra pelancong’ kerana ia terkenal dengan kepelbagaian kaum dan budaya serta penggunaan bahasa Inggeris yang dapat digunakan secara menyeluruh di sini menjadi antara faktor Pulau Pinang berada di tempat ketiga dalam carta tersebut.

Menurut William lagi dalam satu catatannya, jika seseorang itu suka melancong ketika bersara, Pulau Pinang adalah tempat yang paling strategik untuk dijadikan ‘tapak’ kerana ia mempunyai Lapangan Terbang Antarabangsa yang membolehkan mereka pergi ke negara-negara ASEAN yang lain dengan mudah.

Pulau Pinang juga turut digelar ‘syurga makanan’ dalam kalangan penggemar-penggemar makanan kerana ia terkenal dengan kepelbagaian jenis makanan dari segenap peringkat iaitu bermula dari makanan jalanan hingga ke makanan bertaraf hotel 5 bintang yang mampu diperoleh dengan harga mampu milik.

Pulau-Pulau lain yang turut berada dalam senarai tersebut adalah Ambergris Caye, Belize (tempat keempat), Ireland (kelima), Roatan, Honduras (keenam), Isla Mujeres, Mexico (ketujuh), Isla Colon, Panama (kelapan), Las Terrenas, Republik Dominika (ke-11) ), Crete, Yunani (ke-12), Cozumel, Mexico (ke-13) dan Caye Caulker, Belize (ke-14).

Sumber: New Straits Times

Share.

Leave A Reply