Polis mengesahkan kehilangan remaja perempuan dari Taman Salak Maju di sini, yang ditularkan menerusi aplikasi Whatsapp.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, laporan kehilangan Salsabila Putri Mad Nasir, 13, dibuat oleh abang remaja itu, Mohammad Fitra Mad Nasir di Balai Polis Bandar Baru Salak Tinggi, kira-kira 10 pagi semalam.
“Menurut laporan yang dibuat abangnya, kehilangan Salsabila Putri disedari pada jam 2.30 pagi semalam (25 Dis).
“Kes ini masih dalam siasatan pihak polis dan diklasifikasikan sebagai Orang Hilang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Wan Kamarul Azran berkata, menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan inap desa (homestay) itu mendapati, Salsabila Putri telah keluar rumah dengan berpakaian serba hitam dan berjumpa dengan seorang lelaki, yang telah membawa remaja itu keluar daripada kawasan perumahan tersebut.
“Pengadu juga telah menghubungi adiknya beberapa kali tetapi tidak dapat,” katanya.
Sementara itu, Mohammad Fitra ketika dihubungi berkata, sebelum kejadian, adik bongsu daripada enam beradik itu tidak merajuk atau bergaduh dengan mana-mana ahli keluarga.
“Kami sekeluarga baru sampai dari Pulau Pinang dan kami datang ke sini untuk bercuti.
“Adik saya berketinggian 165 sentimeter dengan anggaran berat 50 kilogram,” katanya, menambah semasa keluar dari homestay itu, Salsabila Putri berpakai serba hitam, berpelitup muka warna kelabu dan kasut berwarna kelabu.
Mohammad Fitra berharap orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai adiknya untuk menghubungi beliau di talian 017-4807301 atau 011-11232617.
Sumber : HM
ARTIKEL LAIN YANG BOLEH DIBACA
Remaja Hilang 4 hari Ditemui Peluk Pokok Getah
Seorang remaja yang dilaporkan hilang sejak empat hari lalu ditemui dalam keadaan bogel sambil memeluk sebatang pokok getah di Kampung Temalir di sini.
Ibu saudara mangsa, Mas Anizan Mat Ghani, 29, berkata, dia dimaklumkan mengenai penemuan mangsa yang berusia 18 tahun selepas dihubungi oleh ahli keluarga pada pukul 10.45 pagi.
Menurut wanita itu, dia melihat anak saudaranya dalam keadaan tidak bermaya selain mengalami kecederaan pada kedua-dua belah tangan.
“Semasa sampai di rumah, dia (mangsa) menangis dan memanggil ibunya. Berdasarkan cerita ahli keluarga lain, dia ditemui dalam keadaan bogel sambil memeluk pokok getah.
“Kami sekeluarga bersyukur kerana dia dijumpai dalam keadaan selamat. Alhamdulillah dia kini berada di Hospital Sultan Ismail Petra di sini untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.
Menurut Mas Anizan, sepanjang kehilangan anak saudaranya, kakak mangsa tidak tidur lena sepanjang malam kerana bimbang keselamatan adiknya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai, Penolong Penguasa Bomba Nik Ahmad Afsham Nik Pa memberitahu, mangsa dijumpai kira-kira pukul 10 pagi kira-kira 200 meter dari lokasi dia dilaporkan hilang.
Menurut beliau, remaja berkenaan ditemui dalam keadaan lemah dan kelihatan tidak bermaya.
“Seramai tujuh anggota termasuk pegawai BBP Kuala Krai bersama sebuah jentera dan sebuah trak pikap terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang bermula sejak Rabu lalu.
“Operasi SAR itu turut dijalankan bersama pihak Polis Diraja Malaysia selain dibantu oleh unit anjing pengesan (K9) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia,” katanya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan seorang remaja yang dipercayai berada dalam keadaan berhalusinasi hilang semasa keluar ke sebuah kedai bersama rakannya di Kampung Temalir pada petang Selasa lalu.
Remaja itu dipercayai melarikan diri masuk ke kawasan hutan selepas melihat sebuah kereta yang dipandu bapa saudaranya di kedai tersebut kira-kira pukul 4.30 petang.
Mas Anizan berkata, anak saudaranya mengalami halusinasi sehingga meracau semasa dia bercuti di ibu negara selama tiga hari sebelum suaminya membawa mangsa pulang ke kampung pada Khamis lalu.
Sumber : KMN