Tumbuk Dan Pijak Ibu Kandung. Seorang Lelaki Ditahan Polis. | Polis menahan seorang pemuda berusia 19 tahun selepas dipercayai menumbuk muka dan memijak tubuh ibunya hanya kerana wanita itu dikatakan tidak mengemas rumah, semalam.

Kejadian berlaku di kediaman mereka di Sungai Way, Petaling Jaya dekat sini, kira-kira jam 6 petang, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid, berkata mangsa yang berusia 44 tahun tampil membuat satu laporan polis pada jam 2.40 petang, kelmarin.

Katanya, siasatan mendapati pengadu dipukul oleh suspek yang tidak berpuas hati kerana berasakan ibunya tidak mengemas rumah.

“Ketika kejadian, suspek bertindak mengunci pintu hadapan rumah sebelum membaling barang-barang perhiasan ke arah pengadu.

“Suspek kemudian menumbuk muka dan memijak dada kiri pengadu. Penderaan ini menyebabkan wanita itu luka pada muka dan badan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau, suspek ditahan di sebuah lokasi di Kampung Lindungan, Petaling Jaya, kira-kira jam 7.30 malam, semalam.

“Semakan mendapati suspek mempunyai satu rekod lampau berkait kes jenayah. Ujian saringan air kencingyang dibuat ke atasnya juga didapati negatif penggunaan dadah.

“Ketika soal siasat, suspek mengaku melakukan perbuatan itu. Dia kini direman empat hari sehingga Rabu ini untuk siasatan lanjut,” katanya.

Mohamad Fakhruddin berkata, hasil siasatan juga mendapati kejadian seumpama itu bukan kali pertama dilakukan suspek ke atas ibunya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau cara berbahaya.

Sumber: Berita Harian

 

 

BERITA LAIN

Pemandu SUV cedera terkena tayar lori tercabut di lebuh raya

SEPANG – Seorang lelaki cedera di bahagian muka dan kepala selepas tayar yang tercabut dari sebuah lori terkena bahagian cermin hadapan kenderaan dipandunya di Kilometer (KM) 27.2 Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (Elite), di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, pemandu lori yang dalam perjalanan ke Ipoh, Perak memberhentikan kenderaan selepas terdengar bunyi kerosakan sejurus tiba di lokasi kejadian sekitar jam 1.37 petang.

“Ekoran daripada bunyi tersebut pemandu lori, lelaki tempatan berusia 30 tahun memberhentikan kenderaan di lorong kecemasan.

“Selepas berhenti, pemandu lori terbabit melihat tayar bahagian kiri telah tercabut dan terkena kereta mangsa,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Wan Kamarul Azran berkata, kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Perodua Aruz dipandu mangsa berusia 39 tahun terbabit mengalami kerosakan teruk pada bahagian bumbung hadapan.

“Mangsa telah dibawa ke Hospital Putrajaya untuk menerima rawatan dan telah dibenarkan pulang ke rumahnya di Kundang, Rawang pagi Rabu,” katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati semasa kejadian keadaan jalan serta cuaca baik dan pihaknya sedang menyemak rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berhampiran.

“Polis telah merakam percakapan pemandu lori dan akan mengambil keterangan mangsa dalam masa terdekat untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” ujar beliau.

Sumber : SH

Share.

Leave A Reply