Ribut: Penduduk Luah Tiada Makan Besar, Tiada ‘Mood’ Sambut Raya (Ada Video) | Hari ini iaitu 31 Januari seharusnya menjadi detik dan masa yang dinanti-nantikan oleh masyarakat Cina.

Ribut: Penduduk Luah Tiada Makan Besar, Tiada 'Mood' Sambut Raya (Ada Video)

Mana tidaknya, di sebelah petangnya akan diadakan acara tradisi iaitu jamuan makan besar dan berkumpul bersama kaum keluarga, sempena sambutan Tahun Baru Cina.

Tentu saja persiapan sudah dilakukan lebih awal, baik daripada hiasan rumah dan bahan keperluan untuk menu hidangan perayaan.

Tetapi segalanya musnah dalam sekelip mata apabila rumah mereka rosak teruk akibat ribut dan ‘puting beliung’, petang semalam.

Penduduk yang terjejas akibat ribut ketika ditemui di Kampung Tawas di sini, berkata, tiada makan besar dan tiada sambutan perayaan esok hari.

Bagi mereka, apa yang lebih penting sekarang ialah membersihkan peralatan rumah yang masih boleh digunakan.

Salah seorang penduduk, Cheah Seng Kun, 36 tahun, berkata semasa kejadian dia berada di rumah bersama-sama dengan tujuh orang ahli keluarga.

Jelasnya, lebih kurang pukul 5 petang mereka melihat angin kuat, tidak hujan dan cuaca panas. Banyak aluminium dan zink kecil berterbangan

Tambahnya, akibat angin tersebut, secara tiba-tiba habis bumbung jiran dan rumah mereka diterbangkan angin sehingga tak dapat berbuat apa-apa dan hanya berlindung dalam rumah di bahagian tandas.

Katanya, selepas bencana terbabit, mereka tidak dapat mengaturkan apa-apa (makan besar), tiada raya (sambut) dan tiada mood. Kalau saudara balik ke sini pun mungkin hanya untuk tolong bersihkan rumah.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Negeri, Datuk Mohd Zolkafly Harun melawat Pusat Pemindahan Sementara mangsa ribut di Dewan Orang Ramai Kampung Tawas, di sini.

Beliau turut meninjau keadaan di kawasan perumahan yang teruk dilanda ribut, di samping menyampaikan sumbangan kepada mangsa yang terbabit.

Antara kawasan yang terjejas ialah Kampung Tawas, Taman Tasik Damai, Taman Desa Seri Chepor dan Kampung Seri Klebang Tambahan Jaya.

Sumber: Astro Awani

Share.

Leave A Reply